31 anggota, pegawai polis KL dibuang kerja tahun ini

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Dalam tempoh 11 bulan tahun ini,seramai 31 anggota dan pegawai polis di bandar raya ini dibuang kerja atas pelbagai kesalahan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid.

Jumlah yang dikenakan tindakan tegas itu bagaimanapun berkurang 41 pegawai dan anggota polis yang dibuang kerja dalam tempoh sama tahun lalu.

Justeru Allaudeen menasihatkan pegawai dan anggotanya supaya sentiasa menjalankan tugas dengan berintegriti, mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi menjaga imej sendiri, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini, Allaudeen berpuas hati dengan prestasi kerja anggota dan pegawainya sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, kerana rata-rata berjaya melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan, seramai 93 anggota polis Kuala Lumpur dinaikkan pangkat daripada koperal kepada sarjan manakala 34 lagi dinaikkan pangkat sarjan mejar.

Beliau mengingatkan, kenaikan pangkat bukanlah suatu kemegahan sebaliknya
ia amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul sepenuh hati dan dengan berkhidmat secara profesional serta integriti yang tinggi setiap masa..

Sementara itu, beliau berkata, kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar ibu negara menjadi ‘mata’ kepada polis dalam usaha membanteras jenayah, secara tidak langsung mengurangkan kadar jenayah indeks di sekitar ibu negara sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu dan sehingga 40 peratus berbanding 2019.

Allaudeen berkata, ia juga secara tidak langsung menyumbang kepada kadar pertuduhan yang tinggi sehingga mencecah 70 peratus membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.

Beliau juga memberitahu, JSJ Kuala Lumpur berjaya menyelesaikan 91.52 peratus kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga November 2023.

Katanya, keseluruhan petunjuk prestasi utama (KPI) jenayah indeks bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November 2023 mencatatkan penurunan sembilan peratus, jenayah harta (8 peratus) dan jenayah kekerasan 12 peratus.

(Foto IPK KL)

Related posts

Leave a Comment