347 jemaah haji Andalusia tiba di tanah air

SEPANG 17 Jun – Perjalanan ibadah haji pada tahun ini disifatkan lebih teratur dan lancar, yang membolehkan Duyufurrahman menunaikan ibadah secara lebih sempurna, kata Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, jumlah jemaah kali ini agak kurang berbanding tahun-tahun sebelumnya yang membolehkan urusan ibadah haji lebih teratur dengan layanan lebih baik khususnya daripada pihak muassasah.

“Sebenarnya, tahun ini agak istimewa disebabkan keadaan yang sangat teratur ekoran jemaah dijemput menunaikan haji merupakan mereka yang mempunyai visa.

Jadi, jumlahnya kurang berbanding tahun sebelum ini.

Ibadah wukuf juga dilaksanakan dengan teratur. Layanan oleh muassasah sangat baik selain cuaca pada tahun ini juga kurang panas berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan KLIA di sini awal pagi ini.

Beliau bersama Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia)

Ibrahim Mat Sin menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji yang memilih pakej haji yang ditawarkan syarikat pengendali haji dan umrah itu.

Seramai 347 daripada 573 jemaah haji Andalusia selamat tiba di tanah air awal pagi ini (17 Jun 2025) dengan penerbangan Saudia Airlines pukul 12.30 malam selepas  46 hari di Tanah Suci bagi menyempurnakan ibadah itu bagi musim 1446H/2025.

Pakej haji Andalusia bagi tahun ini bermula dengan harga RM43,000 selain jemaah terpilih perlu mendapat tawaran daripada Tabung Haji.

Menurut Ida Riswana, baki jemaah Andalusia yang kini masih berada di Tanah Suci  akan pulang secara berperingkat dengan penerbangan terakhir dijangka pada 10 Julai depan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai peraturan menunaikan ibadah haji tahun ini, Ida Riswana mengakui , peraturan musim ini dilihat lebih ketat apabila Arab Saudi mahu memastikan tiada jemaah yang masuk ke Makkah tanpa sebarang visa.

“Mereka yang transit di Jeddah dan Madinah dan mahu masuk ke Makkah juga tidak dibenarkan langsung. Selain itu, dari Makkah ke Arafah juga ada enam ‘checkpoint’ yang perlu dilalui. Jadi, jika ada visa yang sah, ia tidak menjadi masalah, cuma ambil masa kerana banyak pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai cabaran kesihatan di Tanah Suci, Ida Riswana berkata, perkara itu dapat dikendalikan dengan baik seterusnya membolehkan jemaah pulang ke tanah air dengan selamat.

Susulan cuaca yang panas, kebanyakan jemaah juga berada di dalam khemah, kawasan berbumbung atau di dalam masjid.

“Tahun ini kita tidak banyak sangat cabaran kesihatan. Sakit biasa itu masih ada, kita ada satu kematian melibatkan jemaah haji lelaki yang terkena serangan jantung selepas selesai melontar jamrah.

“Jemaah juga mengikut peraturan ditetapkan terutamanya daripada segi waktu dan cuaca memandangkan kita menjangkakan suhu akan menjadi begitu panas,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment