Ada keperluan mendesak selain pilihan raya PBT

KUALA LUMPUR 19 Dis. –  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan terdapat keperluan mendesak lain yang perlu dilaksanakan bagi menjamin kelestarian dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan.

“Saya ingin menekankan bahawa kita perlu meneliti perkara penting yang perlu dilaksanakan, khususnya di Kuala Lumpur, selain tidak menolak ada kepentingan seperti dilontarkan sebahagian pihak mengenai pilihan raya PBT,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan pilihan raya PBT tertakluk di bawah kuasa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Justeru beliau bersedia mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi membincangkan berhubung cadangan itu secara menyeluruh.

“Ia (pelaksanaan pilihan raya PBT) sebenarnya di bawah (bidang kuasa) KPKT. Justeru, saya akan berbincang dengan Kor Ming untuk meneliti perkara ini dengan lebih lanjut dan bagaimana ia boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut menghadiri sesi taklimat berhubung perancangan dan fokus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelang 2024 yang turut dihadiri Datuk Bandar, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Dr Zaliha sebelum ini dilaporkan berkata, fungsi PBT serta peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam mendepani isu bangunan strata di Wilayah Persekutuan perlu diberi keutamaan, berbanding cadangan melaksanakan pilihan raya PBT.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, pihaknya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menentukan sama ada status Jabatan Wilayah Persekutuan dikekalkan atau sebaliknya.

“Setakat ini, status Jabatan Wilayah Persekutuan masih kekal dan sama ada ia akan berubah kepada kementerian atau sebagainya akan ditentukan kelak. Saya akan membincangkan hala tuju ini bersama Anwar.

“Sudah pasti fungsi Kementerian Wilayah Persekutuan lebih luas, tetapi jika diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, ia masih dibawah tanggungjawab Perdana Menteri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment