Palanivel meninggal dunia

KUALA LUMPUR 17 Jun – Bekas Presiden MIC, G Palanivel 76 meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pukul 8 pagi ini.

Berita pemergian Palanivel, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu disahkan oleh Naib Presiden MIC, T Murugiah.

Palanivel menyertai MIC sebagai ahli biasa pada 1968 dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1990 dan memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor dan kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut.

Bagaimanapun pada PRU 2008, Palanivel tewas tetapi kembali ke Parlimen pada 2013 sebagai wakil rakyat bagi kawasan Cameron Highlands.

Palanivel mengambil alih kepemimpinan MIC apabila presiden yang lama berkhidmat, S Samy Vellu, meletakkan jawatan pada 2010.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, Palanivel memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Lembah Bujang pada 1973 sebelum menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai wartawan kanan pada April 1977.

Pada 1984, beliau dilantik sebagai penyunting bagi berita dalam negeri dan ekonomi agensi berita itu sebelum dipinjamkan sebagai setiausaha akhbar kepada Samy Vellu selaku Menteri Kerja Raya antara 1987 hingga 1990.

Jawatan yang pernah disandang termasuklah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (1999–2004) ; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2004–2008); Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

(2008–2011); Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2011–2013) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar 2013–2015.

Nnn

Related posts

Leave a Comment