DAP kekal bersama Kerajaan Perpaduan

PUTRAJAYA 16 Ogos – Persidangan Kebangsaan DAP 2026 memutuskan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.

Keputusan itu menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan DAP menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sebelum tamat penggal semasa Parlimen.

Terdahulu, usul berkaitan sama ada parti itu patut kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa atau sebaliknya dibawa oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Daripada 4,266 jumlah perwakilan yang layak mengundi, hanya 2,223 yang hadir dan sebanyak 2,106 kertas undi dikeluarkan.

Speaker persidangan, Cha Kee Chin yang mengumumkan keputusan itu, memaklumkan sebanyak 1,857 undi memilih untuk parti terus kekal sebagai kerajaan, iaitu 88.2 peratus, manakala 242 undi atau 11.5 peratus mahu DAP keluar.

“Kita mencatat kehadiran 2,223 perwakilan atau 52.12 peratus dan daripada jumlah itu sebanyak 2,106 kertas undi dikeluarkan. Daripada jumlah kertas undi dikeluarkan itu, sebanyak 2,099 undi sah, manakala tujuh lagi undi undi rosak,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong, memaklumkan perwakilan DAP akan mengundi  bagi menentukan sama ada parti itu patut kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa atau sebaliknya.

Penggal Parlimen ke-15 bermula dengan mesyuarat pertama Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022. Mengikut Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen akan terbubar selepas lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama jika tidak dibubarkan lebih awal.

Justeru, tempoh maksimum Parlimen ke-15 terbubar sendiri adalah pada 18 Disember 2027 dengan pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Nnnn

 

Related posts

Leave a Comment