Tabung KPT Prihatin kumpul RM1.7 juta

TANJONG MALIM 17 Jun – Tabung Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin, setakat ini berjaya mengumpul RM1.7 juta untuk waris dan mangsa nahas bas membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut di Gerik, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Tinggi,  Dr Zambry Abd Kadir, berkata dana terkumpul hasil usaha kira-kira 40 institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk politeknik serta kolej komuniti, selain sumbangan pelbagai pihak antaranya agensi kerajaan negeri, institusi bank dan pihak korporat.

Beliau berkata tabung khas yang dikendalikan oleh UPSI itu akan disalurkan kepada penerima secara berperingkat dan setakat ini sebanyak RM371,000 daripada RM1.7 juta itu telah diserahkan kepada pelajar dan waris yang terkesan.

“Wang itu (RM1.7 juta) akan diberikan kepada keluarga-keluarga mangsa, saya serahkan kepada pihak urus setia yang diketuai oleh Naib Canselor UPSI (Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff).

Mereka (pihak IPT) buat gerakan untuk sumbangan daripada pelajar-pelajar, kakitangan dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Tahlil Perdana Untuk Mangsa Insiden Bas Pelajar UPSI di Dewan Tuanku Canselor UPSI, di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara  Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi  Mustapha Sakmud serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah.

Zambry yang turut menyumbangkan sebulan gajinya sebagai menteri kepada tabung itu berkata ia sebagai satu solidariti bersama dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

Sementara itu, Md Amin ketika ditemui berkata Tabung KPT Prihatin khusus untuk insiden terbabit dijangka ditutup pada Jumaat ini.

“Apabila kita tutup sumbangan, selepas itu boleh diserahkan terus kepada keluarga (mangsa). Terima kasih, kita cuba lihat mungkin hari Jumaat … untuk tempoh seminggu ini kita tutup,” katanya.

Dalam pada itu Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) UPSI, majlis tahlil perdana itu disertai kira-kira 5,000 mahasiswa, petugas serta penduduk setempat.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lalu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment