224 terkorban, 1,277 cedera di Iran

TEHRAN – Kementerian Kesihatan Iran mengesahkan, seramai 224 orang telah terkorban manakala 1,277 lagi telah dimasukkan ke hospital, sejak serangan Israel bermula pada Jumaat lalu.

Jurucakap kementerian, Hossein Kermanpour memaklumkan di media sosial, lebih 90 peratus daripada jumlah mangsa adalah orang awam.

Dalam pada itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengesahkan dua pegawai tertingginya dalam organisasi risikan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas ibu negara Iran, Tehran, Ahad lalu.

Menurut laporan agensi berita rasmi IRGC, Sepah News, Ketua Organisasi Risikan IRGC, Mohammad Kazemi serta timbalannya, Hassan Mohaghegh maut dalam serangan berkenaan.

Turut disahkan terkorban ialah seorang lagi pegawai kanan risikan yang tidak dinamakan.

Beberapa pegawai tentera kanan, saintis nuklear serta orang awam dilaporkan terbunuh dalam siri serangan yang disifatkan sebagai paling agresif dalam sejarah konflik antara kedua-dua negara.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa sasaran di Israel, mengakibatkan kematian serta kerosakan besar di beberapa kawasan.

Konflik ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap kemungkinan tercetusnya perang berskala besar di Asia Barat.

Israel mendakwa berjaya menguasai ruang udara Iran hampir sepenuhnya dalam gelombang serangan udara hari ketiga pada Ahad, yang menyasarkan lebih ramai pegawai kanan keselamatan negara itu.

Related posts

Leave a Comment