WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan larangan perjalanan sedia ada dengan menyenarai 36 negara tambahan yang berpotensi dilarang memasuki negara itu.
Menurut laporan media, memo yang diperoleh menyatakan Jabatan Negara telah mengenal pasti negara itu dan mungkin disyorkan penggantungan penuh atau sebahagian jika mereka gagal memenuhi penanda aras dan syarat yang ditetapkan.
Awal bulan ini, Trump menandatangani satu proklamasi melarang kemasukan warganegara dari 12 buah negara atas alasan mahu melindungi Amerika Syarikat daripada ancaman “pengganas asing” dan risiko keselamatan negara.
Dua belas negara itu adalah Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman manakala
kemasukan warga tujuh negara lain – Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela – juga dikenakan sekatan separa.
Arahan itu adalah sebahagian daripada tindakan keras terhadap imigresen yang dilancarkan semasa penggal kedua Trump, termasuk penghantaran pulang ratusan warga Venezuela ke El Salvador yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan samseng serta usaha untuk menyekat kemasukan dan menyingkirkan sebahagian pelajar antarabangsa dari universiti-universiti AS.
Dalam kabel diplomatik dalaman yang ditandatangani Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, Jabatan Negara menggariskan sejumlah kebimbangan terhadap negara-negara terlibat dan meminta tindakan pembetulan diambil.
Kebimbangan utama yang dibangkitkan adalah kelemahan dalam sistem dokumentasi identiti negara terbabit serta tahap keselamatan pasport yang diragui.
Beberapa negara juga didakwa enggan bekerjasama dalam proses penghantaran pulang rakyat mereka yang telah diarahkan keluar dari AS dan sebahagian negara dikenal pasti sebagai punca warganegara mereka terlibat dalam kegiatan pengganasan atau terlibat aktiviti bersifat anti-Semitik dan anti-Amerika.
Bagaimanapun, tidak semua isu tersebut terpakai kepada setiap negara yang tersenarai.
Tiga puluh enam negara yang mungkin berdepan larangan penuh atau separa jika gagal menyelesaikan isu berbangkit dalam tempoh 60 hari adalah: Angola, Antigua dan Barbuda, Benin, Bhutan, Burkina Faso, Cabo Verde, Kemboja, Cameroon, Côte d’Ivoire, Republik Demokratik Congo, Djibouti, Dominica, Ethiopia, Mesir,
Gabon, Gambia, Ghana, Kyrgyzstan, Liberia, Malawi, Mauritania, Niger, Nigeria, Saint Kitts dan Nevis, Saint Lucia, Sao Tome dan Principe, Senegal, Sudan Selatan, Syria, Tanzania, Tonga, Tuvalu, Uganda, Vanuatu, Zambia dan Zimbabwe.