PHNOM PENH – Lautan yang menjadi sumber makanan serta pekerjaan kepada jutaan penduduk dunia, kini berdepan pelbagai ancaman yang memerlukan perhatian segera dengan mengelakkan pencemaran dan mencegah eksploitasi sumber marin.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN memberi amaran itu sempena Hari Lautan Sedunia 2025 pada setiap 8 Jun dengan tema pada 2025 ialah ‘Wonder: Sustaining what sustains us.’
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam perutusannya menggesa kerajaan serta rakan antarabangsa untuk bersama melindungi lautan daripada pencemaran yang semakin meningkat dan mencegah eksploitasi sumber marin secara berlebihan.
“Lautan kita bukan saja membentuk budaya, membangkitkan imaginasi dan menginspirasi kekaguman sejak zaman-berzaman, malah ia membekalkan udara yang kita hirup, makanan yang kita makan, pekerjaan yang kita perlukan dan iklim yang kita harapkan.
“Namun hari ini, lautan memerlukan bantuan kita. Isyarat kecemasan jelas kelihatan – daripada perairan dicemari plastik hinggalah kepada populasi ikan yang merosot serta kehilangan ekosistem marin, daripada suhu yang meningkat hinggalah kepada kenaikan aras laut,” katanya.
Menurut PBB, lautan menghasilkan sekurang-kurang 50 peratus oksigen di bumi, menjadi habitat sebahagian besar biodiversiti dunia dan sumber utama protein kepada lebih satu bilion penduduk.
Laut juga dijangka menyediakan sumber pekerjaan kepada kira-kira 40 juta orang melalui industri berasaskan lautan menjelang 2030, menurut laman web PBB.
Namun dalam tempoh beberapa dekad, 90 peratus populasi ikan besar telah pupus, manakala 50 peratus terumbu karang musnah akibat eksploitasi sumber laut secara besar-besaran tanpa usaha pemulihan.
Sementara itu, melalui hantaran di Facebooknya, ASEAN turut menyuarakan kebimbangan serupa dan memberi amaran mengenai pelbagai ancaman terhadap laut, termasuk pencemaran serta perubahan iklim.
“Di seluruh ASEAN, laut menyokong mata pencarian, menjadi sumber makanan kepada jutaan penduduk, serta menyimpan khazanah semula jadi dan warisan budaya yang luas.
“Namun, lautan kita sedang terancam akibat pencemaran, eksploitasi berlebihan dan perubahan iklim.
“ASEAN menyertai seruan global untuk melindungi dan menguruskan ekosistem marin secara mampan demi generasi akan datang,”, kata ASEAN
