Bersatu anggap pendakwaan terpilih

SEPANG 28 Ogos – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam menyifatkan tindakan kerajaan mendakwa Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan 1948 sebagai pendakwaan terpilih bermotif politik dan berniat jahat.

Setiausaha Agungnya  Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu bagi menekan pimpinan parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Tambahan pula katanya, apabila pihak polis dan Jabatan Peguam Negara memutuskan secara tergesa-gesa untuk mendakwa Muhyiddin tanpa mengendahkan fakta dan keterangan daripada individu-individu utama yang terlibat serta memperhalusi dokumen-dokumen yang telah diserahkan.

Menurut Hamzah, pertuduhan terhadap Muhyiddin sesungguhnya amat luar biasa apabila Ketua Polis Negara memperakui bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara pada hari yang sama kenyataan Muhyiddin direkodkan bersama dokumen-dokumen seperti;

a) Surat Arahan dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengemukakan Akuan Berkanun sebagai bukti sokongan majoriti;

b) Bukti 115 Akuan Berkanun dari ahli Parlimen yang menyokong YB Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan

c) Akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong.

Bersatu juga mengecam sekeras-kerasnya sikap hipokrasi Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya lantang menentang Akta Hasutan 1948.

PH katanya berjanji untuk menghapuskan akta yang dikatakan undang-undang zalim atau “draconian law” dalam menifesto PH sekiranya membentuk kerajaan selepas PRU-15.

“Ironinya, setelah menjadi kerajaan mereka telah menggunakan Akta Hasutan 1948 berulang kali secara zalim untuk menekan dan menindas lawan politik,” katanya susulan mesyuarat MPT yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Ahmad Faizal Azumu.

Hamzah berkata Bersatu percaya bahawa institusi kehakiman dalam negara akan bertindak secara bebas, adil dan bijaksana dalam menilai keseluruhan peruntukan dalam Akta Hasutan 1948, termasuk peruntukan pengecualian bagi suatu perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan, atau benda lain untuk disifatkan sebagai menghasut.

“Mesyuarat Khas MPT Bersatu membuat ketetapan sebulat suara untuk berdiri teguh bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyeru seluruh pimpinan, akar umbi dan penyokong parti untuk bersolidariti bersama menentang segala bentuk kezaliman yang menghalang pemimpin Perikatan Nasional terus bersuara menegakkan kebenaran,” kata Hamzah.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment