KAHERAH – Gabungan Freedom Flotilla (FFC) dalam satu kenyataan di Telegram mendakwa tentera Israel telah menaiki kapal bantuan Madleen, yang sedang dalam perjalanan ke Gaza, menyebabkan komunikasi dengan kapal itu terputus.
Terdahulu, tentera laut Israel dilaporkan sedang berkomunikasi dengan kapal amal Madleen milik FCC yang dalam perjalanan ke Gaza dan mengarahkan kapal terbabit menukar haluan apabila ia menghampiri kawasan larangan.
Kementerian Luar Israel turut merujuk kapal berkenaan sebagai tidak lebih daripada ‘kapal selfie’.
Beberapa jam sebelum itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata beliau mengarahkan tentera untuk menghalang bot yang membawa aktivis, antaranya Greta Thunberg dari Sweden, pelakon Ireland Liam Cunningham dan Ahli Parlimen Eropah dari Perancis, Rima Hassan.
Kapal terbabit turut membawa bantuan seperti beras dan susu formula bayi, lampin pakai buang, produk kebersihan wanita, kit nyah garam, bekalan perubatan, tongkat dan anggota palsu kanak-kanak ke Gaza, sekali gus mencabar sekatan Israel.
FCC menerusi akaun Telegramnya turut memuat naik memo suara daripada salah seorang aktivis di atas kapal, Thiago Avila.
“Kami dikelilingi oleh banyak cahaya secara serentak, mereka mengelilingi kapal kami, namun akhirnya beredar mengikut haluan masing-masing,” katanya.
Kapal Madleen berdaftar di bawah bendera Britain itu kini berada di perairan Mesir dan bergerak perlahan menuju ke Semenanjung Gaza yang dikepung Israel.
Sebuah lagi kapal yang dikendalikan oleh FCC, Conscience, diserang dron berhampiran pantai Malta pada 2 Mei.