Ambil langkah elak kemalangan berulang

IPOH 9 Jun- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah banyak langkah preventif boleh dan perlu dilakukan susulan daripada kekerapan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan nyawa yang kerap berlaku kebelakangan ini.

Titah baginda, semua pihak berkaitan wajib menjadikan tragedi ini pengajaran, mengenal pasti dan menerima kelemahan untuk dilakukan penambahbaikan, terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian kemalangan yang tragik seperti ini dapat dielakkan daripada berulang.

Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dalam kenyataannya berkata, baginda bertitah walaupun ajal maut ditentukan oleh Ilahi, baginda berpendirian bahawa Allah SWT menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka.

“Baginda berdua menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa yang telah kehilangan anak dan ahli keluarga yang begitu dikasihi, dalam usia yang begitu muda, dan menghadapi ajal dengan cara yang sangat memilukan hati,” kata Meor Hezbullah.

Baganda berdoa agar ibu bapa dan ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat Ilahi dengan reda, dan mendoakan agar roh mereka yang terkorban dilimpahi rahmat ihsan Ilahi, ditempatkan dalam kalangan roh para solihin dan solehah.

Terdahulu, baginda berdua berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, untuk menziarahi keluarga mangsa dan mendapat sembah taklimat mengenai tragedi kemalangan tersebut mengakibatkan 15 nyawa terkorban dan 24 orang pelajar cedera (22 orang dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Gerik dan dua orang lagi sedang dirawat HRPB).

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara meluangkan masa sekitar 10 minit menziarahi keluarga mangsa yang terlibat di Jabatan Forensik HRPB, di sini.

Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Nnn

Related posts

Leave a Comment