Pengendali bas diberi surat tunjuk sebab

PPUTRAJAYA 9 Jun – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada syarikat pengendali bas yang terbabit nahas meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Grik awal pagi ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pada masa sams Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sedang melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas bas serta syarikat berkenaan.

JISA dilakukan mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715).

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, beliau menyatakan rasa amat sedih dan terkesan menerima berita nahas tragis yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI di Lebuh Raya Timur-Barat, Gerik itu.

“Setiap nyawa yang terkorban adalah satu kehilangan besar bukan saja kepada keluarga tetapi juga kepada masa depan negara. Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook, hari ini.

Beliau menekankan, kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuhkan dasar keselamatan jalan raya.

“Kami komited melindungi pengguna jalan raya, terutama daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab serta kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.

“Antara dasar yang sedang dirangka ialah pelaksanaan wajib ‘Speed Limiter’ (Pengehad Kelajuan) bagi kenderaan berat. Dasar ini sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk bagi menutup sebarang ruang manipulasi selepas ia dikuatkuasakan kelak,” katanya.

Loke turut mengambil maklum tindakan segera yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pengurusan UPSI dalam menyantuni keluarga mangsa.

“Kejadian itu harus menjadi peringatan kepada semua pihak – kerajaan, pengendali dan masyarakat – bahawa tiada kompromi dalam soal keselamatan nyawa. Doa saya sentiasa mengiringi mangsa dan ahli keluarga mereka yang sedang melalui saat amat sukar ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment