SEPANG 9 Jun – Tengku Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempertimbangkan untuk bertanding dalam sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata perkara itu tidak menjadi sebahagian daripada pertimbangannya ketika memutuskan untuk meninggalkan UMNO dan menyatakan niat menyertai PKR pada 30 Mei lepas.
Katanya, tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangannya dalam membuat keputusan untuk menyertai PKR.
Zafrul berkata, kedudukannya sebagai Menteri Kabinet terserah kepada budi bicara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai Ahli Dewan Negara sehingga tempoh tamat Disember ini.
Dalam satu kenyataan menerusi hantaran di akaun media sosial hari ini, beliau menegaskan tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat.
Mengenai keputusan beliau untuk berundur daripada UMNO, Zafrul sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa perkara itu adalah pilihan peribadinya dan bukan atas sebarang paksaan.
“Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam.
“Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini,” katanya.
Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepemimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta seluruh akar umbi terutamanya UMNO Bahagian Kota Raja atas sokongan yang diberi selama ini.
“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat dan selagi diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu jawatan,” katanya.
Nnnn