Anugerah bukan untuk dibeli, dilobi

KUALA LUMPUR 2 Jun – Anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan bukan untuk dibeli atau dilobi, sebaliknya hanya diberikan kepada individu yang benar-benar layak serta berjasa kepada kerajaan dan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan walaupun kerajaan telah menggariskan syarat untuk dipertimbangkan, baginda tetap akan menilai semula setiap calon yang dicadangkan.

Baginda bertitah, , hanya individu yang telah lama berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, atau yang telah mengharumkan nama negara, wajar untuk diperkenankan.

“Memang setiap tahun tidak banyak yang melepasi syarat tersebut. Walaupun, ada pihak yang melobi, saya tidak akan layan. Pangkat Datuk dan Tan Sri bukan untuk dibeli. Kalau ada yang banyak sangat duit, buatlah amal jariah, bantu orang miskin yang memerlukan,” titah baginda.

Sehubungan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah penerima yang berjaya pada hari ini seharusnya menghargai dan berbangga dengan anugerah yang dikurniakan.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara di sini hari ini.

Sebanyak 116 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan sambutan

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh negara atas ucapan tahniah serta doa yang sentiasa mengiringi setiap langkah Seri Paduka Baginda dalam menjalankan tugas dan amanah sebagai Ketua Negara.

Sementara itu, Peguam Negara,  Mohd Dusuki Mokhtar, 58 mendahului senarai 104 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 dengan dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.

Turut dikurniakan PMN ialah Panglima Angkatan Tentera Mohd Nizam Jaffar.

Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri pula dikurniakan kepada Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim, Panglima Tentera Laut Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri  Abd Shukor Mahmood, Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara  Donald Joseph Franklin dan Akauntan Negara Nor Yati Ahmad, antara enam individu dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Penerima lain ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan)  Dr Mohd Bakhari Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan)  Ramzi Mansor dan Pakar Bedah Kardiotorasik Hospital Sultanah Aminah Datuk Dr Simon Jerome Vendargon.

Lapan individu menerima Darjah Johan Mangku Negara (JMN) antaranya Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Md Radzi Hashim, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital Ma.Sivanesan Marimuthu @ Muthiah.

Turut menerima JMN, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Abu Bakar Yusof, Timbalan Naib Canselor Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Mohd Sazili Shahibi dan Ketua Jabatan Ekuiti, Bahagian Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Lim Tze Seong.

Empat individu pula menerima Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Chek Zainuddin Chek Jusoh, Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan (R&D) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Boniface Edwin Manung, Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Mohd Hadzmir Yusoff dan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi Fazidah Mustafa.

Dalam pada itu, Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London, United Kingdom Datuk Zakri Jaafar, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin dikurniakan Darjah Johan Setia Diraja (JSD).

Atlet Paralimpik Badminton Negara yang juga pemenang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 Cheah Liek Hou, antara 14 penerima Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN).

Dua individu dikurniakan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) iaitu Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Syed Zaqwanariff Zainudin dan Ketua Pegawai Keselamatan Bahagian Keselamatan Istana Negara ASP Mohd Fairouz Hamdi Mohd Yamin.

Sejumlah 16 individu menerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) termasuk Jurubahasa Isyarat Mahkamah Persekutuan Malaysia Tan Lee Bee, manakala 45 individu dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan tiga individu menerima Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyelamatkan empat mangsa termasuk dua kanak-kanak dalam insiden bot pelancong terbalik di Teluk Batik, Perak pada Ogos 2023 Lt Komander Mohd Firdaus Arbaain pula penerima tunggal Bintang Jasa Perkasa Persekutuan (JPP).

Nnnn 

Related posts

Leave a Comment