Rakyat bersatu padu hadiah istimewa

KUALA LUMPUR 2 Jun –  Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengingatkan pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif, yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.

Baginda bertitah apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah-belah dan benci-membenci di antara satu sama lain.

“Gunakanlah akal sebelum buat sebarang keputusan. Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat diri saya, selain daripada rakyat yang bersatu-padu.

“Saya pernah sebutkan dulu, ada satu virus yang akan melanda negara kita. Sekarang kita nampak virus ini mula menular dan tidak boleh diubati. Saya sering bercakap mengingatkan perkara ini supaya kita tidak mudah lupa,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim turut menyeru rakyat supaya terus memperkukuh perpaduan untuk diberikan sebagai hadiah kepada baginda.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut memaklumkan bahawa baginda akan mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan, bagi melihat sendiri kehidupan rakyat serta mengagihkan duit zakat kepada golongan miskin dan asnaf yang lapan.

Sementara itu, dalam ucapan sembah tahniah pada istiadat itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, perpaduan nasional bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan utama untuk memastikan kelangsungan pembangunan negara.

Beliau berkata, perpaduan itu asas kepada pembangunan sebuah negara, selain menjadi pemangkin kepada kemajuan Malaysia.

“Malaysia hanya akan terus teguh jika kita kukuh berpadu. Kestabilan dan perpaduan nasional adalah syarat asas kepada segala kemajuan. Dalam dunia yang cepat berubah dan sarat cabaran, perpaduan bukan pilihan, ia adalah keperluan,” katanya

Anwar berkata, Kerajaan Madani di bawah naungan dan titah pandu Sultan Ibrahim akan terus komited melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip yang Madani.

“Pembangunan kebendaan semata tentu tidak mencukupi, malah mesti diseimbangkan dengan nilai manusiawi, keadilan sosial dan karamah insaniah,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan prasarana dan kemudahan awam tidak terbatas kepada projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) saja, sebaliknya kemudahan asas seperti sekolah, hospital dan jaringan pengangkutan perlu diperbaiki, dinaik taraf serta ditingkatkan.

“Rakyat tidak hanya dijanjikan harapan, tetapi juga dibela secara nyata dan berterusan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment