AMPANG 1 Jun – Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli tidak berhasrat dan tidak berminat untuk menerima sebarang jawatan tertinggi jika ditawarkan mana-mana parti termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mantan Timbalan Presiden PKR itu menegaskan sejak dari awal beliau tidak menerima apa-apa tawaran jawatan.
“Malah Nurul Izzah masa jumpa saya, cuba nak bawa kalau ada Timbalan Presiden dilantik. Saya kalau ada Timbalan Presiden pun, kalau Presiden dilantik pun, saya tak berminat kerana ia bukan soal jawatan; ia soal perjuangan yang kita nak bawa.
“Saya akan kekal sebagai ahli dan tanggungjawab saya sama seperti sebelum ini,” kata Rafizi pada majlis penutup Karnival Belia Madani 2.0 Parlimen Pandan, di sini, hari ini.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dan sedang bercuti sehingga 16 Jun ini, berkata beliau akan kekal sebagai Ahli Parlimen kerana ini adalah mandat daripada rakyat dan keputusan itu perlu dihormati
“Sama juga pembabitan dalam parti kerana yang memberi mandat adalah Cabang Pandan, jadi saya perlu hormati dua mandat itu,” katanya.
Mengenai tindakan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar UMNO dan memohon menyertai PKR, Rafizi berkata ia mampu membuka pintu yang sukar dijangka pada masa hadapan oleh Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, ketika Kerajaan Perpaduan dibentuk, tidak ada draf atau muktamad di dalam perjanjian yang menyatakan boleh mengambil ahli daripada parti lain.
Jadi bila perkara ini berlaku, saya rasa pandangan atau kritikan UMNO adalah munasabah dan perlu diambil kira keseluruhan pimpinan di dalam Kerajaan Perpaduan.
Pandangan UMNO itu adalah dari perspektif untuk mengekalkan keharmonian sesama parti. Jadi saya rasa, perkara ini akhirnya akan dibincangkan di peringkat Kerajaan Perpaduan kerana perkara ini sesuatu yang belum dimuktamadkan,” katanya
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan UMNO memandang serius niat peletakan jawatan yang dimaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menerusi hantaran di Facebook, Jumaat lalu.
Jelasnya, amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.
Sementara itu, ditanya jika Rafizi ada menerima tawaran untuk menyertai parti lain, beliau menegaskan tidak berminat untuk menyertainya.
Nnn
