KUALA LUMPUR 22 Okt. – Kerajaan menunjukkan komitmen berterusan untuk menambah baik kemakmuran Sabah dengan meningkatkan Pemberian Khas Persekutuan kepada negeri itu sebanyak dua kali ganda kepada RM600 juta pada 2025.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata peningkatan pemberian itu menjadikannya kadar tertinggi direkodkan setakat ini.
Beliau berkata, pembayaran penuh RM600 juta disalurkan pada 10 September lalu hasil persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah selepas kajian semula dilaksanakan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kadar pemberian khas yang dinaikkan itu adalah bersifat interim, sementara kedua-dua kerajaan sedang merumuskan kaedah baharu bagi menentukan perkiraan pemberian khas pada masa depan.
Anwar berkata demikian pada sesi penerangan mengenai Pendirian Kerajaan Madani berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, kajian semula kadar pemberian khas dilaksanakan secara berkala dan diwartakan pada 2022, 2023 dan 2025, mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan menampung kos perkhidmatan di Sabah.
Sebelum ini, kadar pemberian khas kekal RM26.7 juta sejak 1969 sebelum meningkat kepada RM53.4 juta pada 2019, RM125.6 juta (2022) dan RM300 juta pada 2023.
Sementara itu ketika berucap di Majlis Amanat Integriti Perdana Menteri & AIGA 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Anwar berkata, peningkatan peruntukan kepada Sabah bukan satu isu sebaliknya ia membabitkan keperluan pembangunan di negeri itu.
Perdana Menteri berkata, sebelum pentadbirannya, peruntukan khas untuk Sabah hanya sejumlah RM126 juta, namun dinaikkan ke RM300 juta pada 2023 dan RM600 juta pada 2025.
Katanya, beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk mengumpulkan semua data yang menunjukkan hasil cukai dari Sabah membabitkan jumlah RM10 bilion.
“Berapakah belanja yang kita peruntukkan pada 2025 dan unjuran 2026? RM17 bilion. Ini bukan kerana pertimbangan khusus untuk Sabah.
Ini kerana keperluan kita membina lebuh raya yang belum ada atau belum siap, bekalan air yang masih belum siap (yang) diluluskan pada 2024 dan insya-Allah siap tahun depan.
“Bagi elektrik, Sabah Elektrik yang dulunya di bawah Kerajaan Persekutuan diserahkan kepada negeri, tetapi negeri tentunya tidak upaya untuk menjana pelaburan awal, maka Kerajaan Persekutuan, walaupun diserah kepada negeri, masih membelanjakan RM1.2 bilion, bantuan dan juga pinjaman oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu diterangkan di Parlimen berikutan kerajaan tidak mahu menjadi mangsa tohmahan politik picisan yang mempersoalkan peningkatan peruntukan khas berkenaan.
Anwar berkata, ia membabitkan soal pengendalian negara iaitu urusan ekonomi dan hal berkaitan kepentingan negara yang harus dijaga, selain menjamin keamanannya.
“Kalau ada pandangan mengatakan dana untuk pendidikan di Sabah harus ditingkatkan, saya tidak ada masalah.
“Hasil dari Sabah RM10 bilion, belanja untuk Sabah RM17 bilion bagi saya bukan isu. Itu ikut keperluan. Perlis sampai sekarang masih dibantu termasuk dari segi gaji penjawat awam kerana hasilnya sangat terbatas.
“Tetapi tidak wajar untuk beberapa negeri yang dikuasai pembangkang di Semenanjung mengatakan ‘kami dianak tiri, kami dizalimi’ kerana kenyataannya berbeza,” katanya.
Anwar berkata, Kerajaan Madani membuktikan tambahan peruntukan untuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dalam beberapa tahun ini, kerana ada keperluan termasuk bencana banjir yang melanda negeri terbabit.
Nnnn
