KUALA LUMPUR 1 Jun – Dua jawatan menteri yang bakal kosong selepas penyandangnya mengumumkan peletakan jawatan baru-baru ini, akan dipangku sementara oleh menteri lain, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, tiada keperluan mendesak untuk membuat rombakan Kabinet ketika ini dan mesyuarat Kabinet akan dimaklumkan mengenai menteri yang akan memangku tugas itu.
“Dua menteri letak jawatan dan beri masa mereka untuk melakukan apa yang perlu dan menghabiskan cuti. Saya luluskan permohonan cutinya. Sekarang urusan kerajaan berjalan seperti biasa,” katanya.
Beliau mengulas kedudukan Kabinet selepas pengunduran Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad minggu lalu susulan kekalahan mereka mempertahan jawatan timbalan presiden dan naib presiden PKR.
Beliau berkata demikian ditemui media pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 28 Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan mengesahkan bahawa Anwar sudah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi sebagai Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan, selepas meneliti permohonan itu.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, yang akan berkuat kuasa pada 17 Jun 2025 iaitu selepas cuti tahunan yang bermula 28 Mei berakhir 16 Jun 2025.
Sementara, Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa pada 4 Julai 2025 selepas cuti tahunan mulai 29 Mei berakhir 3 Julai 2025.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah sudah ditugaskan untuk meneruskan pentadbiran kementerian termasuk meneruskan rundingan peringkat ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China serta mendepani isu tarif dengan Amerika Syarikat (AS).
Spekulasi baru-baru ini muncul menamakan beberapa pemimpin PKR yang dijangka mengisi kuota menteri berkenaan termasuk dua Naib Presiden, Amiruddin Shaari dan R Ramanan.
Amiruddin kini adalah Menteri Besar Selangor, sementara Ramanan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Dua lagi penyandang Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sementara Aminuddin Harun adalah Menteri Besar Negeri Sembilan.
Nnnn