SEPANG 27 Okt. – Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong berharap, satu titik penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari lagi berhubung pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka.
Katanya, kedua-dua belah pihak iaitu Barisan Nasional (BN) dan MCA perlu meneruskan perbincangan, selepas mendakwa hasil pertemuan malam tadi belum mencapai matlamat.
Menerusi satu kenyataan, beliau mengesahkan sekitar 11 malam tadi satu pertemuan dengan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Hadir sama Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abd Kadir serta Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh dan seorang lagi pemimpin MCA.
Ka Siong berkata, pertemuan itu berlangsung dalam suasana tenang dan mesra tanpa sebarang pertengkaran dan MCA telah menyatakan dengan jelas rasa tidak puas hati terhadap pengagihan kerusi bagi PRN Melaka.
Katanya, MCA sentiasa berpegang pada prinsip dengan mengemukakan fakta, hujah secara rasional dan perbincangan secara berhemah, di mana sebarang perbezaan pendapat akan cuba diselesaikan melalui rundingan dan dialog.
“Berhubung kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai perkembangan “positif”, saya berpandangan bahawa kita masih belum mencapai matlamat tersebut.
Adalah terlalu awal untuk menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai positif pada peringkat ini. Kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan, dan saya berharap satu titik penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari lagi,” katanya.
Beliau juga menjelaskan sebarang keputusan mengenai langkah MCA seterusnya serta pendirian muktamad parti berhubung pilihan raya Melaka akan dibincang dan diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.
Terdahulu di DURIAN TUNGGAL Ahmad Zahid berkata, perbincangan khas bersama kepemimpinan MCA berhubung pembahagian kerusi selesai dengan perkembangan positif.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, pengumuman mengenai hasil perbincangan itu diserahkan kepada Ab Rauf yang diberikan mandat berbuat demikian.
Nnnn
