REMBAU 31 Mei – Tidak timbul isu Tengku Zafrul Abdul Aziz dikenakan pampasan RM100 juta atas tindakannya keluar parti disebabkan beliau bukan wakil rakyat yang terikat dengan aku janji semasa bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan menegaskan calon Parlimen Kuala Selangor itu tidak menang pada PRU lalu sedangkan aku janji terpakai untuk wakil rakyat yang meninggalkan parti.
“Beliau menjadi menteri atas asas sebagai seorang Senator, jadi saya tidak nampak aku janji itu dapat dikuatkuasakan ke atas beliau,” katanya kepada pemberita di Rantau hari ini.
Terdahulu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Mohd Fuad Zarkashi supaya Tengku Zafrul dikenakan pampasan RM100 juta atas tindakannya keluar parti.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO bagaimanapun berharap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dapat mengembalikan kuota tujuh menteri penuh dalam Kabinet kepada UMNO susulan peletakan jawatan Zafrul daripada parti.
Katanya, kuota itu adalah asas kepada rundingan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Saya berharap Perdana Menteri memastikan supaya kerusi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu terus dipegang oleh UMNO, melainkan jika ada rombakan Kabinet dilakukan, yang mana ia juga perlu dirunding dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan dalam kerajaan.
“Jawatan Senator Tengku Zafrul tamat hujung tahun ini, jadi kita tunggulah. Dan jika ada rombakan yang membabitkan jawatan Menteri MITI, ia mestilah kuota UMNO,” katanya.
Sementara itu di BATU PAHAT, Naib Presiden UMNO, Johari Abdul Ghani, berkata, Zafrul tidak terikat dengan akta antilompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663).
Menteri Perladangan dan Komoditi itu menegaskan, peletakan jawatan Tengku Zafrul dalam parti tidak tertakluk seperti mana dikenakan terhadap Ahli Parlimen.
Dalam pada itu, Johari menegaskan tindakan Zafrul tidak menjejaskan hubungan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dan, apa yang paling penting ketika ini adalah memastikan kestabilan politik supaya kerajaan sedia ada kekal sehingga hujung penggal.
“Kita tidak boleh lagi bergaduh kerana masing-masing ada peranan. Macam saya yang menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan, kita ada tanggungjawab salah satunya adalah untuk memastikan kestabilan politik.
“Kalau tiada kestabilan politik, macam mana kita membangunkan negara. Jadi, soal ini (Tengku Zafrul) tidak menjejaskan pakatan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Nnnn
