Surat diterima, UMNO mohon 1 kerusi menteri

SERIAN 31 Mei – UMNO memohon Kerajaan Perpaduan memperuntukkan satu lagi jawatan Menteri untuk mencukupkan jumlah tujuh menteri mewakili parti itu sebelum ini susulan tindakan Tengku  Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO.

Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO kini tinggal enam kerusi anggota Kabinet sebagai Menteri penuh.

“Jika kuasa mutlak dilaksanakan sepenuhnya oleh Perdana Menteri maka dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar UMNO, maka layaklah UMNO memohon satu kerusi  menteri penuh untuk mempercukupkan jumlahnya kepada tujuh,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Zafrul meninggalkan UMNO dengan meletak semua jawatan parti tetapi masih kekal sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI serta menyatakan hasrat menyertai PKR.

Selain Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut menganggotai Kabinet adalah Timbalan Presiden UMNO  Mohamad Hasan sebagai Menteri Luar.

Dua Naib Presiden UMNO Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pertahanan) dan  Johari Abdul Ghani (Perladangan dan Komoditi), Ketua Penerangan UMNO, Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformaai Institusi).

Setiausaha Agung BN Dr Zambry Abdul Kadir yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara memegang portfolio Menteri Pendidikan Tinggi.

Sementara itu Ahmad Zahid juga mengesahkan UMNO sudah menerima surat peletakan jawatan Zafrul yang dihantar kepada Setiausaha Kerja, Datuk Mohd Sumali Reduan.

“Ketika berita mengenai pengumuman beliau keluar UMNO tersebar malam tadi memang tiada surat rasmi saya terima, begitu juga Setiausaha Agung (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) dan Setiausaha Kerja.

“Pagi ini saya tanya semula, surat itu sudah dihantar kepada Setiausaha Kerja UMNO dan disahkan diterima,” katanya selepas perasmian Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra Gawai Peringkat RISDA Negeri Sarawak 2025 di Kampung Raeh Baru, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, beliau tidak terkejut dengan pengumuman Zafrul di media sosial semalam kerana mereka sudah membincangkannya ketika sidang Parlimen tiga bulan yang lalu namun menganggap tindakan itu adalah tidak beretika.

“Saya tidak ada masalah untuk beliau keluar tetapi kita harus tahu bahawa oleh kerana kita berada di dalam sebuah Kerajaan Perpaduan ataupun Kerajaan Madani, adalah tidak beretika jika mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan ini menerima kemasukan parti daripada anggota Kerajaan Madani.

“Jadi dalam hal ini, kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO (malam tadi) adalah kenyataan rasmi dan pendirian kepada kepemimpinan UMNO ,” katanya.

Asyraf Wajdi dalam kenyataan itu berkata, amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain sewenang-wenangnya bagi mengelak ketidakharmonian dalam kalangan parti gabungan.

Tengku Zafrul mula dilantik menjadi menteri pada 2020 oleh kerajaan terdahulu (pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang ketika itu tidak menyebut beliau sebagai mewakili UMNO.

Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, kuotanya dikatakan daripada UMNO dan kemudian dalam Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun kita tidak pasti ketika itu sama ada pelantikan Tengku Zafrul atas kapasiti UMNO atau sebaliknya tetapi anggapan kita ianya daripada UMNO, malah beliau mendakwa menjadi ahli UMNO sejak 1997, ahli di Lembah Pantai,” katanya.

Mengenai cadangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya Zafrul dikenakan denda RM100 juta kerana melompat parti, Ahmad Zahid berkata, beliau akan merujuk perkara itu kepada penasihat undang-undang.

“Akujanji memang ditandatangani oleh calon UMNO yang bertanding di kawasan Parlimen pada pilihan raya lalu dan Tengku Zafrul bertanding tetapi beliau kalah, namun dilantik semula di dalam Dewan Negara sebagai Senator.

“Saya akan teliti dengan penasihat undang-undang UMNO sama ada kes beliau ini tertakluk kepada akujanji itu atau sebaliknya dan saya akan maklumkannya,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment