Johor benarkan aktiviti masjid

KERAJAAN negeri Johor membenarkan semua perhimpunan untuk aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau di negeri itu mulai Jumaat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri telah memberi perkenan itu.

Tosrin berkata tiada jumlah jemaah yang dihadkan dalam sebarang aktiviti keagamaan itu, namun perlu mengikut keluasan masjid dan surau serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti seperti program membudayakan al-Quran dan As-Sunnah dibenarkan tidak melebihi 30 minit selepas solat.

Selain itu, program bacaan Yassin dan tahlil dalam tempoh selepas solat Maghrib sehingga Isyak dibenarkan mengikut had waktu dibenarkan.

Bercakap pada sidang media di Pusat Islam Iskandar, hari ini,Tosrin berkata program dakwah seperti kursus jenazah, haji dan umrah, kursus praperkahwinan, kelas pengajian al-Quran dan program hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul juga boleh dilaksanakan.

“Justeru, semua pihak yang terlibat dengan pengurusan masjid dan surau serta umat Islam di negeri ini perlu mematuhi arahan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment