SELAYANG 31 Mei – Tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memberi laluan kepada Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk menyertai Dewan Undangan Negeri Selangor, yang penggalnya hanya berbaki dua tahun setengah.
Justeru Naib Presiden PKR Amirudin Shari tidak menjangka akan mengosongkan kerusinya untuk berpindah ke peringkat persekutuan sebaliknya akan kekal sebagai Menteri Besar sehingga penggalnya berakhir.
“Insya-Allah saya kekal jadi MB (Menteri Besar), dia (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) nak pergi haji, saya minta dia doakan.” kata Amirudin secara spontan ketika diminta mengulas berhubung jawatannya susulan penyertaan Tengku Zafrul dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahli Dewan Ubdangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berkata, beliau sedia maklum berhubung ura-ura kononnya kemasukan Tengku Zafrul bagi menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor.
“Pada pendapat saya, terlalu panjang ceritanya, saya tak rasa ada jalan itu ( Zafrul MB) sebab nak kena buat pilihan raya kecil lagi. Kita hanya berbaki dua tahun setengah, tidak banyak kita boleh aturkan, kita kena lihat lagi sebarang perkembangan terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Negeri Selangor 2025 di Dewan Seri Siantan, di sini, hari ini.
Amirudin berkata, penyertaan Zafrul ke dalam PKR bakal memantapkan lagi kredibiliti parti itu dan beliau yakin dapat bekerjasama dengan baik antara mereka.
“Tadi SUA (Setiausaha Agung) dah bagi kenyataan bahawa dia (Tengku Zafrul) sedang diproses (permohonan), selepas beliau menyertai saya percaya kita boleh bekerjasama dengan erat.
“Sebagai contoh, dalam beberapa pertemuan dan urusan kerajaan, beliau selaku Menteri MITI (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia) terbabit dalam sektor aeroangkasa dan semikonduktor dan kita pernah menjalin kolaborasi yang kukuh bersama,” katanya.
Diminta mengulas mengenai kesan penyertaan Zafrul ke atas hubungan dengan UMNO, Amirudin menjelaskan satu perbincangan diadakan hari ini antara kedua-dua pihak tetapi tidak dapat mendedahkan terlalu banyak berhubung perkara itu.
“Hari ini dilaksanakan perbincangan agak lama, ada ura-ura sejak tahun lepas, saya percaya persefahaman boleh dicapai atau telah dicapai, saya kurang maklum hal itu. Tapi kita anggap penyertaan Tengku Zafrul dapat memperkukuhkan pasukan PKR,” katanya.
Amirudin sebelum ini menyatakan beliau akan kekal sebagai Menteri Besar Selangor yang disandangnya sejak Jun 2018 sehingga akhir penggal ini.
Ketika menjawab desas desus Zafrul akan menggantikannya, Amirudin berkata, beliau telah dinasihatkan dan mendapat perkenaan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menyebut tentang perkara itu kepada umum.
“Sebagaimana nasihat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) kepada saya dan Tuanku perkenan untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.
Saya akan kekal di Selangor sehingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan kerajaan perpaduan negeri Selangor,” katanya.
Penjelasan itu dibuat selepas media melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu bakal menyertai PKR.
NNNN