SERDANG 31 Mei – Showcase Teknologi MARDI 2025 (ShowTech MARDI 2025) yang memasuki hari ketiga hari ini menawarkan 4,000 anak pokok durian MS88 untuk jualan kepada pengunjung sehingga Isnin ini.
Di samping pelbagai jenis durian penyelidikan MARDI turut dijual anak pokok rambutan, mangga, kelapa serta sayur-sayuran.
Umpama Mini MAHA, ShowTech MARDI 2025 dimeriahkan dengan pelbagai acara di dalam dan luar dewan pameran bermula dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan Ibu Pejabat MARDI, Serdang.
Antara tarikan utama program ini adalah lawatan ke plot tanaman yang sedia untuk dituai, di mana orang ramai berpeluang merasai sendiri pengalaman memetik sayur-sayuran secara terus dari ladang.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Arthur Joseph Kurup merasmikan acara ini Khamis lalu di mana beliau menekankan bahawa teknologi dan pengetahuan yang dihasilkan MARDI perlu disampaikan secara meluas kepada masyarakat supaya dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.
“ShowTech MARDI 2025 merupakan satu platform penting bagi menyampaikan hasil penyelidikan, inovasi dan teknologi agromakanan kepada rakyat serta pemain industri.
“Ia bukan sahaja mempamerkan kejayaan teknologi, tetapi juga membuka ruang kerjasama, pemindahan teknologi dan potensi komersialisasi ke pasaran lebih luas,” katanya pada majlis yang turut dihadiri, Pengerusi MARDI Dr Azman Ismail dan Ketua Pengarah MARDI Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Menurut Arthur, pendekatan bersepadu antara ejen pengembangan dan institusi teknologi amat penting bagi memastikan pemindahan ilmu berjalan lancar dan selari dengan peralihan zaman.
Katanya, ShowTech ini menjadi aspirasi kepada kelancaran dan kerancakan aktiviti pemindahan teknologi, sekali gus menjamin kesinambungan bekalan makanan negara.
Sementara itu, Dr. Mohamad Zabawi berkata ShowTech MARDI 2025 merupakan wadah terbaik untuk masyarakat dan pemain industri melihat dan memahami sendiri teknologi-teknologi dan inovasi terkini dan inovasi yang telah dibangunkan oleh MARDI sejak 50 tahun yang lalu.
Katanya, program untuk kedua kalinya sejak tahun 2023 ini dijangka dapat menarik kehadiran seramai 500,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang masyarakat iaitu petani, penternak, usahawan, NGO dan belia termasuk pelajar-pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi.
“Program ini sangat menarik kerana para pengunjung berpeluang menyaksikan lebih 200 teknologi yang sedia dikomersialkan mahupun yang telah dipindahkan kepada masyarakat dan industri akan dipamerkan.
“Pada masa yang sama, masyarakat dan pemain industri boleh bertemu para penyelidik MARDI bagi mendapatkan maklumat dan memberikan input serta maklumbalas untuk penambahbaikan R&D dan penghasilan teknologi MARDI,” katanya.
Aktiviti utama program ini akan dijalankan di tiga zon iaitu Zon A (Dewan A, dan sekitar Dewan MAEPS), Zon B (Laluan Pertanian Moden, Showplot Tanaman Bernilai Tinggi, Showplot Tanaman Industri dan Showplot Pertanian Pintar), dan Zon C (Laman Ternakan, Kids’ Attraction, Laman Herba, Laman Kelulut dan Laman Sayur).
Di Zon A, iaitu Dewan A MAEPS, Show Tech MARDI 2025 akan memfokuskan kepada 8 kluster pameran utama iaitu Kluster Tanaman Bernilai Tinggi, Kluster Tanaman Industri, Kluster Padi & Beras, Kluster Teknologi Makanan, Kluster Pertanian Pintar, Kluster Teknologi Ternakan, Kluster Pemindahan Teknologi dan Kluster Agropelancongan.
Antara aktiviti di Dewan A termasuk pameran teknologi, demo teknologi, seminar teknologi dan Pocket-talk, padanan perniagaan – melibatkan syarikat-syarikat dan pemain industri untuk mengambil dan mengembangkan teknologi yang dijana MARDI.
Di samping itu turut disediakan Klinik Tanaman, Klinik Usahawan serta jualan pelbagai produk dan hasilan MARDI seperti biji benih, anak pokok dan bahan input pertanian di pavilion jualan berhadapan Dewan A MARDI.
Laman Kid’s Attraction pula akan menyediakan aktiviti menarik dan interaktif bagi kanak-kanak sempena cuti persekolahan itu.
Antara program yang disediakan ialah Earth Hero (Safe Food Awareness), Agro EduGenius (Career Talk, CSI) dan AgroCulture (Wau Making Workshop),
Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan juga akan diadakan di Dewan C dan kawasan sekitar Kompleks Dewan Pameran di MAEPS seperti pameran mesin pertanian serta kawasan Coffee Corner & Cafe’s, Jualan Agro Madani dan Food Truck Fiesta.
Nnnnn