Tindakan Zafrul bukan luar biasa – Tok Mat

SEPANG 31 Mei  – UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu sebaliknya ia  sebuah parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan, dan keyakinan rakyat – bukan pada nama atau kedudukan.

Timbalan Presiden UMNO,  Mohamad Hasan berkata, dalam politik, orang datang dan pergi adalah lumrah, yang penting, perjuangan mesti diteruskan.

Justeru, beliau menghormati keputusan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk berundur daripada UMNO dan memilih arah politik yang lebih dekat dengan pandangan peribadi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu.

“Saya tidak anggap ini sebagai sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan. Ini adalah sebahagian daripada dinamika politik yang makin terbuka dan pelbagai. Semua orang berhak memilih jalan mereka – dan kami pilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti, dan memperjuangkan nasib rakyat.

Kepada ahli dan penyokong UMNO, jangan goyah. Jangan biar tindakan satu dua orang mengganggu hala tuju kita,” katanya dalam kenyataan mengulas keputusan Tengku Zafrul semalam.

Mohamad turut mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan Zafrul selama berada bersama UMNO dan mendoakan yang terbaik buat Tengku Zafrul,

“Sepanjang berada dalam kerajaan atas tiket UMNO, beliau telah memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan. Kami ucapkan terima kasih atas segala sumbangan beliau,” katanya.

Kepada anggota UMNO, Mohamad, mengingatkan bahawa parti itu bukan dibina sehari dua, dan bukan diangkat hanya kerana seorang tokoh sebaliknya UMNO adalah amanah yang lebih besar daripada itu.

“Kita ada kerja yang jauh lebih penting iaitu menyatukan, memperbaiki, dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada kita,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment