KUALA LUMPUR 28 Mei – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menghormati Rafizi Ramli yang tidak pernah takut bersuara, selain sentiasa mencadangkan idea, strategi, dan dasar yang mengubah pemikiran mengenai tadbir urus, akauntabiliti dan reformasi ekonomi.
Nurul Izzah berkata, banyak idea Rafizi tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada dirinya atau Rafizi , tetapi kerana ia adalah apa yang tepat untuk Malaysia.
“Pemikiran seperti Rafizi akan sentiasa menjadi kekuatan, sama ada berada dalam kerajaan atau tidak. Negara memerlukan idea dan langkah yang berani, dan saya percaya beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberi.
Namun, ke mana pun arah perjalanan beliau selepas ini, saya yakin beliau akan terus membentuk masa depan negara ini dengan cara yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya.
Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi susulan gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini.
Nurul Izzah yang berjaya menewaskan Rafizi berkata, fokusnya kekal kepada usaha memperkukuh parti, memastikan pimpinan tertinggi parti sentiasa dipantau dengan baik serta berazam untuk memastikan kerja-kerja penting terus dilaksanakan.
“Tanggungjawab kita untuk sentiasa saling mengingatkan bahawa kita tidak boleh lari daripada nilai dan prinsip yang kita pegang dan perjuangkan selama ini.
Sebagai langkah awal, fokus kami terarah kepada memperkenalkan latihan wajib, khusus kepada semua pemimpin parti, di peringkat pusat, negeri dan cabang tentang undang-undang berkaitan pengubahan wang haram (AMLA), rasuah dan pematuhan cukai,” katanya.
Beliau menegaskan, tadbir urus yang baik seharusnya dibina atas asas prinsip dan ilmu yang kukuh bagi mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku, serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka.
“Kita seharusnya menjadi contoh kepada perubahan yang ingin kita lihat dalam diri orang lain,” katanya.
Nnnn