Nik Nazmi ikut Rafizi letak jawatan

PUTRAJAYA 28 Mei – Nik Nazmi Nik Ahmad yang gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden Keadilan pada pemilihan PKR minggu lalu turut meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), berkuat kuasa 4 Julai ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berbuat demikian sejurus selepas Rafizi Ramli yang gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Keadilan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Dalam kenyataannya, Nik Nazmi mengakui bahawa kedudukan sebagai Naib Presiden Keadilan merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan ke jawatan Kabinet selepas pilihan raya umum lalu.

“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri,” kata Nik Nazmi.

Beliau telah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025.

Terdahulu Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa apabila memperoleh 563 undi berbanding pencabarnya pelakon dan pengarah filem Datuk Afdlin Shauki yang memperoleh 631 undi.

Susulan peletakan jawatan itu, Nik Nazmi akan terus kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan pilihan rayanya, Setiawangsa.

“Mengungkapkan semula kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: “Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam.”,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabatnya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang banyak mengajarnya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.

Menyingkap kembali pelantikan ke dalam Jemaah Menteri, sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022-Disember 2023), dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023—Julai 2025), beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.

Katanya, kejayaan dua kementerian ini termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi.

Pasukan NRES pula telah memulakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari peringkat paling asas, dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen.

Semalam, dalam kenyataannya Nik Nazmi mengakui kecewa dengan keputusan pemilihan tetapi tidak menyimpan dendam mahupun berasa marah.

“Saya bertuah diberi peluang berkhidmat pada usia yang muda. Saya menikmati persahabatan ramai rakyat Malaysia biasa yang menyokong perjuangan ini. Ini bukanlah noktah pada perjuangan, tetapi satu liku,” katanya.

Menurut Nik Nazmi, beliau telah menghabiskan lebih separuh dari usianya dalam parti ketika usia 19 tahun, membantu Keadilan.

Beberapa bulan selepas mula bekerja sebagai eksekutif di PNB, beliau membuat keputusan untuk menebus biasiswa luar negara dan bekerja sepenuh masa bersama Anwar Ibrahim, ketika ramai sahabatnya merancang kerjaya korporat mereka.

Pada tahun 2008, ketika parti kekurangan calon, beliau menawarkan diri untuk bertanding di DUN Seri Setia, dan menjadi calon termuda yang kemudiannya BN tewas buat kali pertama di Selangor.

“Lima tahun kemudian, walaupun kami menang undi popular, kami gagal memperoleh majoriti kerusi Parlimen. Apabila Anwar dan Rafizi Ramli meminta saya menempah stadium bagi himpunan Black505, saya setuju tanpa ragu. Lima tahun saya turun naik mahkamah akibat kes Black505.

Ketika Anwar dipenjara, kami menganjurkan himpunan KitaLawan. Ia bermula dengan hanya beberapa orang anak muda yang keras dan degil, tetapi menjadi gerakan besar sehingga kami menghabiskan beberapa hari di lokap,” katanya.

Pada tahun 2018, beliau bertanding di kerusi selamat BN iaitu parlimen Setiawangsa, dengan mesej kempen jika Keadilan menang Setiawangsa, akan menang Putrajaya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment