KUALA LUMPUR 27 Mei – MCA mencadangkan harga yang lebih sesuai untuk gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi atau lebih dikenali sebagai tong gas ungu untuk pengusaha perniagaan khususnya peniaga minuman dan makanan.
Naib Presiden MCA, IR Lawrence Low berkata, langkah itu supaya ia tidak memberi kesan drastik terhadap pengusaha perniagaan dan pengguna atau pelanggan mereka terutama dikalangan B40 dan M40.
Katanya, MCA setuju sekiranya pengusaha perniagaan tidak dibenar menggunakan LPG bersubsidi berharga RM26.60, namun pada masa sama, LPG komersial yang diwajibkan kepada mereka pada harga RM70 setong adalah tidak munasabah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada persatuan dan pengusaha perniagaan sejak kebelakangan ini berhubung Ops Gasak yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula 1 Mei 2025.
Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu peniaga khususnya peniaga minuman dan makanan, dobi serta perniagaan yang menggunakan LPG mengadu terkesan dengan langkah mewajibkan penggunaan LPG bersubsidi atau tong gas ungu itu.
“Peralihan kepada penggunaan LPG komersial berharga sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder 14kg, berbanding RM26.60 hingga RM30 untuk gas subsidi, menyebabkan peningkatan kos operasi mereka sekaligus mencetuskan tindak balas berantai yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat sebagai pengguna,” katanya.
Justeru, kerajaan menerusi KPDN harus mempertimbangkan dan menilai semula langkah ini dari pelbagai sudut, lebih-lebih lagi banyak perniagaan yang terjejas seperti peniaga kecil dan kedai kopi yang dikendalikan oleh individu daripada kumpulan pendapatan B40 serta M40, bukannya restoran mewah.
Katanya, dalam masa terdekat, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors’ General Association berhubung perkara ini dan akan memanjangkan hasil pertemuan tersebut kepada kerajaan seterusnya berharap penyelesaian menang-menang dapat dicapai.
“Apa yang penting bagi MCA, rakyat selaku pengguna seharusnya tidak lagi dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup yang kini sudah pun semakin membebankan,” katanya.
Nnnn