KEPALA BATAS 12 Mei – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, di sini, secara rasminya dinamakan MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penghargaan besar terhadap jasa Perdana Menteri kelima itu.
Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penamaan semula institusi berkenaan adalah sebagai pengiktirafan dan penghormatan khas kepada Tun Abdullah yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menyempurnakan Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, di sini hari ini.
Menurutnya, sebagai menghargai jasa dan sumbangan Abdullah, beliau juga mahu pihak Mara menganjurkan satu Seminar Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh terdekat.
“Saya telah mengarahkan Pengerusi Mara untuk menganjurkan Seminar Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh sebulan ini, melibatkan kalangan intelektual, sejarawan dan ahli profesional, khususnya dalam kalangan pimpinan serta ahli UMNO.
“Seminar ini bertujuan mencungkil dan mendalami pemikiran serta gagasan Pak Lah dalam pelbagai bidang sepanjang kariernya dalam perkhidmatan awam dan politik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pemasyhuran itu.
Hadir sama, anak Allahyarham Abdullah, Kamaluddin Abdullah; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Ketua Menteri I, Mohamad Abdul Hamid; dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Reezal Merican Naina Merican.
MRSM Kepala Batas terletak di kawasan Parlimen yang pernah diwakili Abdullah selama tujuh penggal dari 1978 hingga 2008 dan dirasmikan oleh Allahyarham pada 29 Mac 2009.
Antara legasi terbesar Allahyarham dalam pendidikan Mara ialah pengukuhan sistem pendidikan dualistik yang menggabungkan ilmu duniawi dan ukhrawi, yang menjadi asas kepada program Ulul Albab MRSM.
Sehingga hari ini, Mara memiliki lapan MRSM Ulul Albab di seluruh negara dengan cetusan idea yang dibawa Allahyarham sehingga berjaya melahirkan 980 huffaz profesional sejak penubuhannya.
Sementara itu Kamaluddin berkata, mereka sekeluarga berterima kasih atas penghormatan dan juga penghargaan diberikan semua pihak terhadap Allahyarham dengan memberikan nama MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Penghormatan ini lebih bermakna apabila di sini (Kepala Batas) adalah kampung halamannya (Abdullah)… tempat beliau dibesarkan, diasuh dan dididik, malah di sini arwah ayah, ibu dan nenda beliau disemadikan. Berbakti kepada rakyat Kepala Batas sebagai wakil rakyat lebih tiga dekad.
Malah, Dewan Dato’ Abdul Fatah yang kita berada pada hari ini… (Abdul Fatah) adalah sahabat karib Pak Lah (Abdullah) sejak kecil lagi. Allahyarham sangat menyanjungi orang yang berada di sekelilingnya,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, 14 April lalu.
Nnnn