SEREMBAN 12 Mei – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, ramai yang berpusu-pusu menyertai parti itu untuk mengejar jawatan dan kuasa sehingga wujud gerakan untuk menjatuhkan ‘orang lama’ yang jatuh bangun bersama parti.
Di pentas Jelajah Hiruk, kempen Pemilihan PKR 2025 di sini malam tadi, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi turut mendedahkan, dalam isu membanteras rasuah, Pas lebih dipercayai berbanding PKR.
masih lagi berada di belakang dengan hanya lapan peratus berbanding Pas yang berada di depan dengan 29 peratus.
Jelajah Hiruk Zon Melaka dan Negeri Sembilan di Klana Resort, itu merupakan siri pertama kempen Rafizi yang akan mempertahankan jawatan itu selepas dicabar Naib Presiden Nurul Izzah Anwar.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, ketika susah, orang tidak mahu bersama PKR tetapi selepas 2022, terdapat lambakan anggota yang menyertai parti itu.
“Namun lepas berkuasa 2022, lambakan anggota yang masuk, merebut jawatan dan kuasa hingga ada gerakan tertentu cuba menjatuhkan orang lama untuk memenangkan pemimpin tertentu.
“Sebenarnya kita jauh lagi, pemilihan ini penting kerana kita tak boleh fikir akan jadi kerajaan sampai bila-bila,” katanya pada program yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden PKR, Aminuddin Harun.
Rafizi turut melahirkan kebimbangan berkaitan sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) yang menurut beliau masih belum mencapai tahap ‘selamat’ iaitu sekitar 35 peratus.
Keadaan itu lebih ketara apabila sokongan pengundi Melayu kepada PH hanya naik sekitar satu hingga dua peratus sahaja pada setiap bulan dengan data terkini sekitar 27 peratus bulan ini.
Justeru, kepemimpinan PH perlu menarik sokongan pengundi Melayu sekurang-kurangnya sebanyak 35 peratus dalam memastikan kemenangan parti itu pada PRU16.
“Tiada keperluan melakukan gerakan untuk ‘membuang’ kepemimpinan lama yang setia dengan parti sebaliknya tumpuan diberikan bagi menarik sokongan serta kepercayaan pengundi Melayu,” katanya.
Dalam hubungan ini, Pemilihan PKR 2025 menjadi asas penting untuk menguat dan memperkukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) selepas membentuk Kerajaan Perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN).
Menurut Rafizi, pimpinan yang bakal dipilih bukan saja harus dapat menguatkan parti tetapi mampu menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan rakyat termasuk dalam isu ekonomi dan rasuah.
“Sangat penting dalam pemilihan ini nanti, pimpinan yang dipilih harus mampu menyelesaikan pelbagai isu termasuk ekonomi, rasuah dan pelbagai lagi.
“Jangan hanya hendak mengejar jawatan dan kuasa semata-mata tapi ada tanggungjawab yang perlu dilakukan terhadap parti dan rakyat kerana kita hanya berbaki sekitar dua tahun menjelang PRU akan datang.
“Paling kurang kita (PKR) masih ada kelebihan, walau mungkin ada rakyat tidak suka pada kita, tapi bila ditanya parti mana yang mampu menangani isu ekonomi, masih lagi kita di depan,” katanya.
Mengenai isu membanteras rasuah, Rafizi berkata kepercayaan terhadap keupayaan PKR memerangi rasuah semakin luntur dan PKR masih di belakang dengan hanya lapan peratus berbanding Pas di depan dengan 29 peratus.
“Saya buat pendedahan ini bagi menyedarkan pemimpin muda dan kepimpinan baharu parti selepas ini sebagai persiapan menghadapi PRU16 akan datang.
“Kita ada tanggungjawab, kalau kita sayang parti ini, perkara ini tidak boleh dikesampingkan. Kita perlu ambil kira pandangan rakyat di luar. Pas dilihat lebih bersih daripada kita,” katanya.
Menurut Rafizi, PKR sudah jadi parti orang tua, di mana parti itu kini hanya relevan dalam kalangan Gen X (45–59 tahun) dan Boomer (60 tahun ke atas).
Malangnya, dalam PRU akan datang, Gen Z dan Millennial membentuk lebih separuh pengundi berdaftar — dan mereka lebih cenderung kepada Pas yang dilihat lebih bersih, konsisten dan berani dalam menyuarakan isu-isu rakyat.
“Kekuatan kita ada dua, kita diyakini oleh rakyat sebelum ini sebab kita boleh menguruskan ekonomi dengan lebih baik, dan satu lagi sebab kita dilihat lebih bersih daripada parti lain, oleh itu kita diyakini untuk melawan rasuah dengan lebih baik.
“Tetapi cuba lihat apa yang berlaku dari November 2023 ke April 2025. Dalam tempoh satu setengah tahun sebenarnya rakyat di luar tidak bersetuju kalau kita kata bahawa kita telah menangani rasuah dengan lebih baik.
Yang tidak bersetuju dengan pengurusan ekonomi hanya 18% sahaja, tetapi yang kata “saya tak suka kerajaan ini kerana ia tak menguruskan rasuah dengan baik” ia sudah jadi faktor nombor satu yang orang tak bersetuju dengan kerajaan, ia sudah jadi 31% April 2025 dari 16% pada November 2023.” katanya.
Nnnn