8 ekor gajah mati nahas jalan raya sejak 2020

CHUKAI 12 Mei – Sebanyak 2,361 kematian membabitkan pelbagai spesies haiwan termasuk lapan ekor gajah direkodkan akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam tempoh 2020 hingga semalam.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Pahang merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 765 kes diikuti, Perak (478 kes), Kelantan (224 kes), Terengganu (201) dan Negeri Sembilan (187 kes).

Katanya, lapan gajah yang direkodkan mati akibat dilanggar kenderaan adalah satu kematian pada 2020, dua pada 2021, manakala dua pada 2024 dan tahun ini, tiga ekor setakat bulan Mei.

Beliau yang ditemui selepas Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di sini, hari ini berkata kerajaan akan memperbanyakkan santuari gajah atau penempatan baharu bagi mengurangkan kadar kemalangan membabitkan haiwan itu.

Katanya, langkah itu juga antara usaha kerajaan dalam menangani masalah pencerobohan serta konflik haiwan dan penduduk.

“Kita nak wujudkan santuari gajah dan ia bukan setakat ada hutan tapi kena ada makanan yang cukup dalam hutan supaya r haiwan itu tidak keluar. Biasanya, bila tak cukup makan, haiwan akan keluar mencari makan dan gajah serta harimau ini agak besar, boleh pergi jauh,” katanya.

Nik Nazmi berkata kerajaan juga akan memasang lebih banyak papan tanda diod pemancar cahaya (LED) gajah bagi memberi amaran tentang kehadiran hidupan liar itu seterusnya berfungsi sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati.

“Dengan alat pengesan kehadiran gajah dan ada lampu, ia lebih berkesan untuk mereka yang memandu di kawasan-kawasan yang risiko,” katanya.

Semalam tular video insiden menyayat hati di Lebuh Raya Timur-Barat, apabila seekor gajah betina dirakam enggan meninggalkan anaknya yang mati dan terperangkap di bawah sebuah lori.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cuaca panas dan kering tidak menentu ketika ini, Nik Nazmi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian dan jabatan berkaitan untuk menyelaraskan segala tindakan.

Beliau turut berhasrat untuk mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawat dari negara-negara ASEAN berkaitan pelbagai perkara termasuk cuaca panas serta perubahan iklim.

(Foto gajah FB Mohd Amir Faizal)

Nnn

Related posts

Leave a Comment