Himpunan Daulat Tuanku bawa maruah bukan pesta makan

SEPANG 13 Mei  – Putra menyifatkan satu penghinaan terbuka terhadap rakyat apabila kerajaan Selangor bersedia menyumbangkan makanan kepada peserta Himpunan Daulat Tuanku di depan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 16 Mei ini.

Presidennya Dr Ibrahim Ali berkata, tindakan kerajaan negeri memilih untuk menyambut himpunan itu dengan “nasi bungkus” seolah-olah kemarahan rakyat ini boleh dilembutkan dengan suapan.

“Kerajaan mahu menunjuk sikap prihatin melalui “nasi bungkus”. Ini permainan psikologi yang dangkal dan menghina. Ia memberi gambaran seolah-olah peserta himpunan datang kerana perut, bukan kerana prinsip.

Seolah-olah suara rakyat boleh dibeli dengan makanan. Inilah mentaliti paling rendah dalam politik, apabila kerajaan melihat rakyat bukan sebagai pemilik negeri, tetapi sebagai kelompok yang boleh dihina dan direndahkan dengan makanan percuma apabila ada Himpunan di waktu emosi rakyat membara.

Budi kepada rakyat adalah menjaga hati rakyat dengan mempertahankan kedaulatan raja seperti termaktub dalam perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu Pas Selangor bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengumumkan akan menganjurkan “Himpunan Daulat Tuanku” pada Sabtu ini sebagai tanda solidariti mempertahankan institusi diraja susulan kontroversi membabitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Susulan itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, Pejabat Menteri Besar Selangor memaklumkan akan menyediakan makanan dan minuman kepada peserta yang hadir ke himpunan itu.

Dalam pada itu, Ibrahim menegaskan, Himpunan Daulat Tuanku bukan pesta makan sebaliknya himpunan maruah bangsa.

“Putra mahu tanya secara terbuka kepada Menteri Besar Selangor, apakah begitu sekali rendahnya pandangan kerajaan terhadap rakyat? Apakah kerajaan percaya maruah Raja dan suara rakyat boleh ditukar dengan sebungkus makanan?

Jika itu tahap pemikiran, maka jelas kerajaan paling dayus dan ini sudah terputus dari realiti dan gagal memahami apa yang sedang berlaku di bawah,” katanya.

Beliau berkata, jika kerajaan Selangor ada maruah dan faham maksud Daulat Tuanku, Menteri Besar sepatutnya berdiri bersama rakyat di hadapan SUK, mengarah semua kakitangan kerajaan negeri mendengar sendiri suara rakyat dan menjawab tuntutan dengan keberanian.

“Bukan duduk selesa di pejabat atau di rumah kediaman, sambil menghantar makanan, seolah-olah himpunan ini sekadar acara santai yang boleh dikawal dengan jamuan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment