Gencatan senjata India, Pakistan

NEW DELHI – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendedahkan India dan Pakistan bersetuju melaksanakan satu gencatan senjata pada Sabtu selepas tentera kedua-dua pihak saling berbalas serangan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan ‘gencatan senjata sepenuhnya serta-merta’ hasil usaha perantaraan yang diketuai AS bagi menamatkan ketegangan.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata beliau dan Naib Presiden JD Vance telah berhubung dengan pegawai kanan India dan Pakistan.

Katanya, AS menghubungi Perdana Menteri India, Narendra Modi; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Ketua Tentera Pakistan, Jeneral Syed Asim Munir, penasihat keselamatan negara India, Ajit Kumar Doval dan rakan sejawatnya, Leftenan Jeneral Muhammad Asim Malik.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Kerajaan India dan Pakistan telah bersetuju untuk menghentikan serangan serta-merta dan memulakan rundingan mengenai pelbagai isu di lokasi berkecuali.

“Kami menghargai kebijaksanaan, ketelitian dan kepimpinan Perdana Menteri Modi dan Sharif dalam memilih jalan damai,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar turut mengesahkan menerusi hantaran di platform X bahawa satu gencatan senjata telah dicapai.

Perkembangan ini berlaku selepas ketegangan dan konfrontasi selama beberapa minggu yang hampir mencetuskan peperangan berskala penuh.

Related posts

Leave a Comment