Nurul Izzah ada hak bertanding

JOHOR BAHRU 9 Mei  – Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sekali lagi mempertahankan Nurul Izzah Anwar jika anak sulung Anwar Ibrahim itu memutuskan bertanding merebut jawatan timbalan presiden parti.

Seperti ditegaskan sebelum ini, beliau berkata, sokongan terhadap pencalonan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk bertanding jawatan No.2  pada pemilihan kali ini, tidak menyebabkan nepotisme dalam parti.

“Ini bukan nepotisme, Nurul Izzah mempunyai meritnya untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR,” katanya kepada media selepas menyerahkan rumah pam air di Kampung Belantik, di sini.

Tambahnya, sokongan diterima Nurul Izzah bukan diminta Anwar selaku presiden parti atau isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga bekas Presiden PKR atau daripada anak sulung mereka itu.

Sebaliknya, beliau berkata, sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR datang daripada akar umbi.

“Apa hak kita untuk nafikan hak Nurul Izzah bertanding. Kenapa nak nafikan hak dia hanya kerana Nurul Izzah anak Anwar? Tidak timbul isu nepotisme. Saya tentang nepotisme dalam parti atau kerajaan.

Jawatan itu (Timbalan Presiden PKR) adalah jawatan yang penting. Anwar kata ini penggal terakhir dia, soalnya jika dia tidak pegang jawatan presiden, siapa yang akan ambil alih?,” soalnya.

Hassan meminta semua pihak menghormati hak Nurul Izzah atas kemahuan hampir sejuta ahli parti dari 222 cabang di seluruh negara.

Sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah juga, katanya, dibuat pada saat akhir dan Anwar sendiri tidak menghalang penyandang jawatan Timbalan Presiden, Mohd Rafizi Ramli atau Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH),  Saifuddin Nasution Ismail bertanding bagi jawatan nombor dua itu.

“Biar dua atau tiga penjuru, biar sengit dan kalau kalah pun, puas hati,” katanya.

Nurul Izzah melalui kenyataan kelmarin, menegaskan akan membuat keputusan terbaik dalam mempertimbangkan cadangan akar umbi dan pimpinan PKR, dengan mengambil kira soal penyatuan dan persepakatan dalaman parti.

Rafizi pula nmengesahkan akan terus mempertahan jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandangnya sejak 2022 itu, manakala Saifuddin setakat ini belum memutuskan pendirian.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment