SEPANG 9 Mei – Pemuda DAP (DAPSY) mempertahankan cadangan akar umbi parti itu agar pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibuat secara sama rata 14-14 antara BN dan PH.
Naib Ketuanya, Liinesh Selluandan cadangan tersebut bukan keputusan rasmi DAP Melaka atau PH Melaka, sebaliknya ia adalah suara akar umbi yang kemudiannya diperlekeh oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.
Katanya, Dr Akmal dengan gaya politik “samseng dan angkuh” menolak cadangan itu sedangkan beliau bukan Presiden UMNO, bukan Pengerusi BN, dan jauh sekali jurucakap rasmi Kerajaan Perpaduan.
“Siapa beliau untuk bertindak seolah-olah beliau boleh menentukan segalanya?” kata Liinesh atau lebih dikenali sebagai Harish.
Semalam Akmal menolak cadangan DAP selepas China Press melaporkan bahawa sembilan cawangan parti itu di Melaka sebulat suara meluluskan resolusi menyokong strategi “14+14” untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Jika cadangan itu diterima, ia bermakna BN perlu menyerahkan beberapa kerusi yang telah dimenanginya kepada PH.
Harish berkata jika Akmal tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, dia boleh membawa usul balas dalam mesyuarat agung cawangannya.
“Itu cara demokrasi. Tetapi jika memilih untuk mencemuh dan menengking, maka beliaulah sebenarnya yang mencemarkan semangat perpaduan nasional,” katanya.
Beliau juga mengingatkan Akmal bahawa BN kalah semua kerusi Parlimen di Melaka pada PRU lalu, termasuk kerusi Alor Gajah – yang dulunya kubu kuat BN tetapi calon UMNO sendiri tewas kepada PH.
Ini membuktikan bahawa undi rakyat Malaysia secara jelas telah menolak politik lama yang dibawa oleh UMNO.
Justeru, katanya, apabila ada usul mencadangkan strategi 14BN + 14PH, ia dibuat berasaskan data dan mandat terkini rakyat.
“DAPSY Malaysia akan terus mempertahankan suara akar umbi, prinsip demokrasi, dan politik matang. Kami tidak tunduk kepada ugutan mahupun nada samseng.
“Daripada membuang masa menyerang usul orang lain, lebih baik fokus kepada rakyat, hormati suara mereka, dan hentikan politik ego lama,” katanya.
