KUALA LUMPUR 9 Mei – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung pada tahun ini.
Keputusan itu dicapai pada satu mesyuarat kepemimpinan tertinggi antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan bersama hari ini, berkata kerjasama itu termasuk hal pembahagian kerusi.
“Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama di antara kepimpinan PH dan BN Sabah,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepemimpinan tertinggi PH dan BN di peringkat kebangsaan.
Media sebelum ini melaporkan BN Sabah mengesahkan akan bertanding 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN17 negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Suhaimi Nasir dilapor berkata, baki 33 kerusi diberikan kepada PH.
Pada masa yang sama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah bersama PH juga sebelum ini dilaporkan akan terus bekerjasama dengan PH dalam menghadapi PRN akan datang.
Nnnn