SEPANG 8 Mei – Sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar supaya bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR terus menunjukkan peningkatan apabila pemimpin beberapa negeri tampil menyatakan sokongan mereka.
Pada masa yang sama, tidak kedengaran cabang parti yang menamakan Rafizi Ramli untuk mempertahankan jawatan itu, begitu juga Saifuddin Nasution yang disebut-sebut akan bertanding jawatan itu bagi penggal 2025-2028.
Malahan, Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Seri R Ramanan mendedahkan lebih 150 cabang PKR menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, sokongan terhadap anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu melebihi dua pertiga daripada keseluruhan jumlah cabang parti itu di negara ini.
Di ALOR SETAR, sebanyak 14 daripada 15 Cabang PKR di Kedah menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Ketua Cabang Pokok Sena, Mohd Altab Pa Ibrahim, berkata sokongan secara bersama itu diputuskan mereka kerana Nurul Izzah dilihat bukan sekadar pemimpin biasa, sebaliknya menjadi nadi perjuangan reformasi PKR.
Katanya, Nurul Izzah adalah tokoh politik berwibawa yang sudah membuktikan kemampuannya, selain menjadi simbol harapan kepada seluruh rakyat.
Cabang yang menyatakan sokongan adalah Jerlun, Padang Terap, Langkawi, Sik, Baling, Jerai, Kubang Pasu, Sungai Petani, Merbok, Kuala Kedah, Kulim-Bandar Baharu, Pendang dan Alor Setar.
Hanya Ketua Cabang Padang Serai, Shamsul Anuar Abdullah masih belum menyatakan pendirian berhubung pencalonan itu setakat ini.
Di KUALA TERENGGANU, tujuh daripada lapan Cabang PKR negeri itu menyokong pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden manakala Cabang Marang tidak boleh mengemukakan pencalonan kerana masih digantung.
Ketua Penerangan PKR negeri, Dr Che Wan Ku Hashim Che Ku Mat berkata, sokongan secara bersama diputuskan mengambil kira Nurul Izzah sudah lama berada dalam politik Keadilan, selain dianggap pemimpin pelapis yang dekat dengan akar umbi dan diasuh sebagai anak yang tahan lasak.
“Nurul Izzah mempunyai semangat kekentalan mental dan kecerdasan yang kuat dan kepimpinan serba boleh, terutama ketika ketiadaan Anwar,” katanya seperti dilaporkan media.
Di SEREMBAN: enam daripada lapan Ketua Cabang PKR di Negeri Sembilan iaitu Rembau, Jelebu, Seremban, Rasah, Kuala Pilah, dan Tampin menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah untuk jawatan No.2 part itu.
Sokongan itu melibatkan Cabang Rembau, Jelebu, Seremban, Rasah, Kuala Pilah, dan Tampin.
Nnnn