Putra kekal pengimbang, pengkritik

SEPANG 8 Mei  – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) kekal sebagai sebuah parti alternatif untuk rakyat Malaysia, menjadi pengimbang dan pengkritik kepada kepada kedua belah pihak sama ada kerajaan ataupun pembangkang.

Setiausaha Agungnya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, Putra akan terus memainkan peranan itu supaya kedua-dua belah pihak tidak terlalu selesa dan dibuai mimpi hingga terabai dan terleka dengan kuasa yang dipinjamkan oleh rakyat.

Justeru Putra menyeru rakyat Malaysia bersama mengembalikan kegemilangan kuasa dan keutamaan suara rakyat sebagai pemacu masa depan negara.

“Bukan sekadar menuruti kehendak dan keghairahan agenda politik sesetengah kumpulan atau pun parti sehingga kepentingan rakyat tergadai,” katanya dalam satu kenyataan sempena enam tahun penubuhan Putra hari ini.

Putra yang yang ditubuhkan pada 8 Mei 2019 dan dipimpin Presidennya Dr Ibrahim Ali kini mempunyai 128 bahagian seluruh negara.

Nasrul Ali Hasan berkata, walaupun Putra ‘berkayuh dengan lidi’, parti itu tetap cekal membawa agenda melindungi hak rakyat, kos sara hidup rakyat, hal ehwal Perlembagaan Persekutuan dan keselamatan negara.

Katanya , perubahan landskap politik di negara ini merupakan cabaran terhebat Putra bagi memastikan ideologi dan perjuangan ini terus kekal relevan mengikut peredaran zaman.

“Kita hidup di zaman serba moden ini wajar membuat pertimbangan waras sebelum membuat pilihan. Taksub ke atas sesebuah kepartian bukan satu-satunya cara yang menjamin masa depan.

Memilih pemimpin yang bersih, berkualiti dan mempunyai visi untuk membangunkan masyarakat dan negara sepatutnya menjadi keutamaan sebelum mereka dipilih mewakili rakyat sama ada sebagai pemimpin peringkat Pihak Berkuasa Tempatan, Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen,” katanya.

Sempena ulang tahun keenam itu, beliau juga meminta semua 128 bahagian Putra untuk kekal Istiqamah dan terus bergerak ke hadapan, berjuang mempertahan hak rakyat di kawasan masing-masing.

“Perjuangan demi anak bangsa khusus terhadap kepentingan rakyat terbanyak iaitu orang Melayu dan Pribumi tidak boleh dinafikan semata-mata ingin menggapai kuasa yang ianya datang bersama amanah dan tanggungjawab yang lebih besar,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment