Israel sekat kemasukan rumah kontena

ANKARA – Israel didakwa menghalang kemasukan ribuan unit rumah kontena yang ingin dihantar Ankara ke Gaza bagi membantu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berpanjangan di wilayah itu.

Menurut Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, kontena yang sebelum ini digunakan untuk menempatkan mangsa gempa bumi besar yang melanda Turkiye kini dirancang untuk digunakan sebagai penempatan sementara bagi penduduk Gaza.

Beliau berkata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, telah mengarahkan supaya unit kediaman sementara itu dihantar ke Gaza secepat mungkin bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang terpaksa hidup dalam keadaan serba daif.

Bagaimanapun, Fidan mendakwa pihak berkuasa Israel tidak membenarkan penghantaran tersebut kerana kontena berkenaan diperbuat daripada logam.

Menurut beliau, Israel berhujah bahan logam itu berpotensi digunakan oleh Hamas bagi tujuan ketenteraan atau pembuatan senjata.

Fidan dalam wawancara bersama penyiar Turkiye, TGRT Haber berkata sekatan itu menyebabkan ramai penduduk Gaza terus bergantung kepada khemah kain yang dianggap tidak sesuai untuk menghadapi keadaan cuaca buruk.

Beliau memberi amaran keluarga yang dipindahkan terdedah kepada hujan lebat, ribut dan cuaca sejuk sehingga boleh mencetuskan bencana kemanusiaan yang sama buruk, malah mungkin lebih teruk daripada masalah kekurangan makanan.

Tegasnya, keperluan terhadap tempat perlindungan yang lebih kukuh semakin mendesak ketika musim sejuk, terutama bagi ratusan ribu penduduk yang tinggal di kawasan perlindungan sementara.

Nnn

Related posts

Leave a Comment