“Bebas, Bukan Tunduk”

(Perutusan Hari Kebebasan Media 2025 – Gerakan Media Merdeka (GERAMM)

PADA 3 Mei setiap tahun, dunia memperingati Hari Kebebasan Media — bukan sekadar untuk menyambut apa yang telah dicapai, tetapi juga untuk mengingatkan apa yang masih belum dimenangi. Di Malaysia, sambutan ini bukan satu kelaziman yang gemilang, tetapi satu peringatan getir tentang pertarungan berpanjangan untuk kebebasan yang hakiki.

Tahun ini, Malaysia mencatat sedikit peningkatan dalam Indeks Kebebasan Media oleh Reporters Without Borders (RSF), namun angka bukan segalanya. Kita masih terperangkap dalam jerat undang-undang yang mengekang, struktur industri yang goyah, dan dasar kerajaan yang sering berbolak-balik — antara niat dan tindakan.

‘Majlis Media: Akhirnya Diluluskan, Kini Ujian Seterusnya Bermula’

Selepas bertahun-tahun desakan, akhirnya Parlimen Malaysia meluluskan penubuhan Majlis Media Malaysia pada Mac lalu — dan badan ini dijangka ditubuhkan secara rasmi pada Julai 2025.

Ia suatu kemenangan penting buat semua yang telah memperjuangkan media yang lebih bertanggungjawab dan bebas — namun GERAMM ingin tegaskan: penubuhan sahaja tidak memadai.

Persoalan sebenar kini ialah:

Siapa yang akan mengisi majlis ini? Apakah mandatnya akan benar-benar bebas atau hanya pak turut ?

Kami menyeru agar pelantikan ahli majlis dilakukan secara terbuka, inklusif dan telus, dengan perwakilan yang sah dari kalangan pengamal media, organisasi media, akademik, dan masyarakat sivil — bukan sekadar pengampu status quo.

Majlis ini mesti berfungsi sebagai platform penyelesaian aduan dan pengukuhan etika, bukan alat kawalan baharu dalam wajah yang lebih “mesra”.

Kredibiliti Majlis Media Malaysia akan bergantung kepada siapa yang memimpin dan mengganggotainya serta sejuahmana ia berani bertindak demi kepentingan awam, bukan pihak berkuasa.

Pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan: Peluang atau Perangkap?

Cadangan kerajaan untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) harus dilihat dengan penuh teliti. Adakah pindaan ini untuk melonggarkan kawalan, atau menyempitkan lagi ruang pernafasan media?

Kami di GERAMM berpandangan, akta era kolonial ini sudah tidak lagi relevan untuk ekosistem media digital dan pelbagai platform hari ini. Pindaan untuk memasukkan pindaan baru dengan hukuman lebih berat dan merangkumkan media atas talian  hanya akan melanjutkan hayat penindasan dalam bentuk baru. Kami gesa, bukan sekadar pindaan kosmetik — tetapi pembaharuan menyeluruh yang mengiktiraf realiti semasa media dan jurnalisme.

Media dan Wartawan: Hidup Sekadar Bertahan

Isu mata pencarian pengamal media tidak boleh disapu di bawah karpet lagi. Bayaran lambat, kontrak tidak jelas, beban kerja yang meningkat, dan kurang perlindungan kesihatan — ini bukan sekadar “cabaran kerjaya” tetapi bentuk ketidakadilan sistemik yang mengancam kualiti kewartawanan itu sendiri.

Tanpa keupayaan untuk hidup bermaruah, wartawan tidak akan mampu menulis dengan bebas.

Kami juga ulangi seruan kami agar kerajaan dan pihak industri melihat semula struktur ekonomi media, termasuk keperluan untuk mewujudkan dana kewartawanan awam atau skim perlindungan wartawan bebas.

AI: Sahabat atau Pemangsa?

Kecerdasan Buatan (AI) kini memasuki bilik berita dengan cepat — menulis berita, menganalisis data, bahkan meniru gaya bahasa wartawan. Ia membawa potensi besar, tetapi juga risiko kehilangan pekerjaan dan penyebaran maklumat palsu yang dihasilkan mesin tanpa tanggungjawab.

GERAMM berpandangan bahawa AI harus diatur dan dimanfaatkan dengan beretika, bukan menggantikan suara manusia yang mempunyai konteks, nilai, dan nurani. Media bukan sekadar mesin pengeluaran kandungan — ia adalah tanggungjawab sosial.

Tahun 2025: Tahun Penentuan

Kita kini berada di persimpangan. Akankah kerajaan memilih untuk mendengar suara wartawan dan masyarakat sivil, atau terus memilih laluan yang mengekang dan menundukkan media? Akankah industri bangkit membela para pekerjanya, atau terus menormalisasikan keletihan, ketakutan dan gaji tertunggak?

Geramm bersama semua wartawan, editor, jurukamera, penerbit dan penulis di negara ini — mereka yang setiap hari mengangkat kebenaran walau ditekan dan disisih. Kepada mereka, Hari Kebebasan Media bukan sekadar hari — ia adalah medan perjuangan.

Sambutan Kebebasan Media (Media Freedom Day) 17 Mei

Bagi memperingati hari kebebasan media ini, GERAMM menjemput semua rakan-rakan media dan rakan masyarakat sivil, pelajar, serta orang awam ke acara Media Freedom Day 2025 pada:

Tarikh: Sabtu, 17 Mei 2025

Masa: 12 tengah hari – 5.00 petang

Tempat: Gerakbudaya, Petaling Jaya

Acara: Pelancaran Laporan Media Geramm dan Laporan Landskap Media Malaysia CiJ, forum, dan sesi santai warga media

Datanglah untuk bersama menuntut perubahan, mengangkat solidariti, dan merangka masa depan media Malaysia yang lebih bebas dan bermaruah.

Kami tidak mahu kebebasan bersyarat.

Kami tuntut kebebasan yang dijamin.

#BebasBukanTunduk

Related posts

Leave a Comment