Kumpulan pertama jemaah haji ke Madinah

SEPANG 29 April – Musim haji bagi jemaah Malaysia tahun ini bermula selepas kumpulan pertama yang terdiri daripada 284 jemaah berlepas ke Tanah Suci pada pukul 4.05 pagi ini, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Kumpulan jemaah itu menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 7.50 pagi waktu tempatan (Arab Saudi), hari yang sama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata TH telah mula menghantar petugas haji ke Arab Saudi seawal 24 April lepas untuk membuat persediaan awal bagi menyambut ketibaan para tetamu Allah itu.

Katanya , sebanyak 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci bagi musim ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1446H/2025M.

Mohd Na’im berkata lapan stesen berlepas negeri akan digunakan untuk urusan melapor diri jemaah iaitu di Sepang (Selangor), Alor Setar (Kedah), Kota Bharu (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Bayan Lepas (Pulau Pinang), Senai (Johor), Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

Dalam pada itu, beliau turut menasihati para jemaah agar memanfaatkan peluang berharga sebagai dhuyufurrahman (tetamu Allah) dengan mengikhlaskan niat, tidak membiarkan masa berlalu dengan sia-sia serta memperbanyak amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya ingin mengingatkan semua jemaah haji Malaysia musim ini untuk mengekalkan tradisi dan imej baik negara di mata dunia.

“Semua jemaah haji perlulah mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang Kerajaan Arab Saudi dengan mengelakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang tuan rumah,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment