SEPANG 29 April – Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kad Nusuk sebaik mungkin kerana kad pengenalan rasmi jemaah haji itu memiliki data peribadi termasuk pasport dan visa bagi membolehkan jemaah dikenal pasti secara mudah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kad yang ditambah baik, kini dilengkapi dengan kod respons pantas (QR) bagi mengelakkan sebarang cubaan pemalsuan terhadap kad itu.
“Kad Nusuk ini kena jaga betul-betul sebab ia seperti MyKad kita. Ingat pesanan saya ini jaga kad ini macam kita jaga MyKad kita,” katanya ketika mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1446H/2025M di sini hari ini.
Beliau berkata, kad terbaru ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat bagi menjamin keselamatan pemegang kad berkenaan.
Mohd Na’im berkata sejak Kad Nusuk diperkenalkan tiga tahun lepas, ia membantu memudahkan jemaah haji dari seluruh dunia untuk memasuki Masjidilharam di Makkah , Masjid Nabawi di Madinah serta tempat-tempat ibadah haji lain ketika mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
“Kalau katakan jemaah haji Malaysia, dia nak masuk ke Masjid Al-Haram atau Masjid Al-Nabawi, tanpa ada kad ini dia tak boleh masuk. Jadi dia kena bawa Kad Nusuk ini,” katanya.
Nnnn