RIYADH – Red Sea Global (RSG) mengumumkan penemuan koloni terumbu karang gergasi spesies Pavona di perairan AMAALA, pesisir barat laut Arab Saudi, yang berpotensi menjadi tarikan utama pelancong menerusi aktiviti selam.
Menurut laporan media, terumbu itu juga menawarkan pengalaman unik dan tidak dapat dilupakan.
Ia hampir menyamai saiz pemegang rekod dunia semasa yang berukuran 32 x 34 meter, ditemukan di Lautan Pasifik dan kini diiktiraf sebagai koloni karang terbesar seumpamanya yang pernah direkodkan di Laut Merah.
Akses ke lokasi itu akan dibenarkan kepada para pelawat selaras dengan prinsip pelancongan bertanggungjawab RSG, bagi memastikan impak terhadap ekosistem marin diminimumkan sambil membolehkan pengunjung menikmati keindahan luar biasa dunia bawah laut.
Ketua Perlindungan Alam Sekitar dan Pemulihan RSG, Ahmed Alansari berkata penemuan karang sebesar ini menunjukkan betapa pentingnya nilai ekologi dan keindahan semula jadi Laut Merah.
RSG percaya perlindungan terumbu karang sangat penting dan karang gergasi seperti ini berfungsi sebagai kapsul masa, memberikan maklumat penting untuk menjejaki perubahan oseanografi masa lalu, seterusnya membantu memodelkan tindak balas terhadap perubahan alam sekitar pada masa depan.