GAZA – Serangan terbaharu Israel pada lewat Ahad mengorbankan 50 orang di Semenanjung Gaza setelah Israel menyambung semula kempen ketenteraannya dengan serangan harian sejak 18 Mac lalu.
Tindakan Israel itu dilakukan selepas perjanjian gencatan senjata yang menghentikan pertempuran selama dua bulan gagal diteruskan.
Israel terus menyerang kawasan khemah di bahagian tengah, termasuk Deir el-Balah, kem pelarian berhampiran, serta di Bandar Gaza manakala kawasan timur bandar itu, iaitu kejiranan Tuffah, diserang bertubi-tubi selama tiga minggu, selain kawasan kejiranan Shujayea dan Zeitoun.
Pertahanan Awam Palestin memaklumkan masih terdapat mangsa yang tertimbus dan terperangkap di bawah runtuhan besar.
Bagaimanapun, usaha menyelamat terpaksa dihentikan berikutan ketibaan malam dan kehadiran dron Israel memenuhi ruang udara di bahagian timur Gaza di samping
semua jentera berat yang berbaki sudah musnah diserang Israel.
Ketiadaan jentera berat menjadikannya mustahil untuk mengalihkan sisa runtuhan bangunan bagi menyelamatkan mangsa.
Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas turut mengemas kini angka kematian keseluruhan kepada 52,243 orang sejak perang bermula, selepas ratusan mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang disahkan terkorban.
Pejuang Palestin turut menculik 251 tebusan warga Israel, dengan 58 masih ditahan di Gaza, termasuk 34 individu yang menurut tentera Israel telah meninggal dunia.