Warna biru mana satu kuasai Ayer Kuning

SIAPA kuasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning? Mampukah Perikatan Nasional (PN) mengurangkan kerusi Barisan Nasional (BN) kepada lapan atau lebih tepat tujuh atas nama UMNO? Apakah akan ada keajaiban?

Semua persoalan itu akan terjawab apabila 31,315 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat esok, Sabtu 26 April selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.

Di atas kertas tidak ada sebab BN boleh kehilangan kerusi itu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu ditambah pula dengan sokongan sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.

Berdasarkan matematik mudah, jika sokongan pengundi tidak berubah, di mana pada PRN lalu, calon BN, Ishsam Shahruddin memperoleh 9,088 undi manakala calon PH Mej (Dr) Mohd Nazri Hashim mendapat 6,875. Jumlahnya 15,963.

Jika berkurangan pun tidak banyak, mungkin satu undi selepas bekas Exco Wanita UMNO, Dr Wan Norashikin Wan Noordin mengisytiharkan menyertai Pas.

Berbanding PN yang ketika PRN, calonnya Ustaz Farid hanya memperoleh 6,812 undi dan jika ada tambahan daripada penyokong Pejuang, bolehlah tambah 105 undi yang diperoleh calon parti itu Maziah Salim.

Menariknya, adakah penampilan semula Bawani KS yang mewakil PSM mampu mengekalkan jumlah undi yang diperolehnya sebelum ini iaitu 586 undi.

Kemenangan mana-mana parti tidak membawa sebarang makna terhadap perubahan kerajaan negeri yang dibentuk hasil gabungan DAP, PKR, UMNO.

BN mahu mengukur sejauh mana sokongan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat negeri atau pusat. Tentunya, ia akan turut menggambarkan penerimaan pengundi terhadap kerjasama parti khususnya melibatkan UMNO DAP.

Tempoh kempen amat sengit di mana kedua-dua pihak menurunkan sepenuhnya jentera pilihan raya parti dan ‘kerajaan’ ke kawasan itu dengan menampilkan pelbagai isu sama ada tempatan atau peringkat pusat.

Tidak kurang juga tuduh menuduh dan apa yang difahami parti politik sebagai fitnah memfitnah malahan dakwaan ada yang menggunakan ayat al-Quran sehingga ditafsirkan orang politik sebagai ‘fatwa’ untuk menarik perhatian pengundi.

Turut menarik perhatian isu hubungan UMNO dan DAP apabila pemimpin DAP dan penyokong BN melaungkan UMDAP MANTAP yang secara tidak langsung memberi gambaran apa sebenarnya hubungan kedua parti itu.

Isu itu panas kerana pihak pembangkang mengesahkan gelaran mereka terhadap kerjasama itu diterjemahkan oleh pemimpin DAP Nga Kor Ming dan penyokong yang memakai seragam BN. Penafian kewujudan UMDAP terjawab.

PN juga cuba menjuarai isu kandang babi sehingga pemimpin Bersatu mengakui naratif ternakan babi yang diketengahkan memberi implikasi kepada sokongan pengundi terutama bukan Melayu.

Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, yang mengakui situasi itu bagaimanapun berkata ketetapan PN mengetengahkan isu itu dibuat selepas mengambil kira rintihan dikemukakan penduduk di Ayer Kuning.

“Betullah, (naratif ternakan babi memberi impak negatif kepada PN) tetapi itulah isu tempatan yang sebenarnya kerana terlalu banyak kandang babi dalam kawasan ini.

“Jadi kita orang Melayu berasakan mengapa isu sebegitu rupa diambil mudah oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya ketika mengulas kenyataan penganalisis politik yang menegaskan naratif berkenaan ‘membunuh’ momentum sokongan pengundi, terutama bukan Melayu kepada gabungan berkenaan.

Pemuda Pas Pusat menerusi kenyataan media mendakwa anak Sungai Bidor yang terletak dalam DUN Behrang tidak boleh digunakan, termasuk untuk mengambil wuduk kerana tercemar akibat pelepasan efluen daripada kandang babi berhampiran.

Sama ada isu babi boleh menambah atau mengurangkan undi kepada BN dan PN, semuanya terserah kepada pengundi terutama di kawasan terlibat.

KEPUTUSAN 10 PRK SELEPAS PRU & PRN

Menyelak kembali keputusan 10 PRK sebelum ini, hanya BN mampu merampas kerusi penyandang daripada PN-Bersatu di DUN Nenggiri di bawah Parlimen Gua Musang apabila calonnya mengalahkan calon PN. Yang lain kekal kepada penyandang.

Bermula di Terengganu, PRK Kuala Terengganu pada 27 Julai 2023 diadakan susulan, kemenangan Ahmad Amzad Hashim (PN-Pas) terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menerima petisyen yang difailkan calon BN, berikutan wujud unsur rasuah ketika kempen.

Bagaimanapun Ahmad Amzad berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 47,266 undi kemenangan buat kali ketiga dengan majoriti jauh lebih besar berbanding kemenangan kali pertama di Parlimen itu pada PRU-14 (14,773) dan PRU-15 (40,907 undi).

Beliau memperoleh 68,369 undi mengetepikan calon PH-PKR, Azan Ismail yang memperolehi sebanyak 21,103 undi.

Di Johor pada 9 September 2023 menyaksikan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram susulan kematian penyandang Salahuddin Ayub (PH-Amanah) yang ketika itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

PH mengekalkan penguasaan di Parlimen Pulai apabila Suhaizan Kayat, menang dengan majoriti 18,641 selepas memperoleh 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar (PN) dengan 29,642 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas) meraih 528.

Bagaimanapun Suhaizan menang dengan majoriti lebih rendah berbanding majoriti besar 33,174 undi diraih Allahyarham Salahuddin.

Di DUN Simpang Jeram, PH turut mengekalkan kerusi itu apabila calonnya Nazri Abdul Rahman meraih 13,844 undi menewaskan, Dr Mohd Mazri Yahya (PN) yang mendapat 10,330 undi manakala S Jegananthan (Bebas) meraih 311 undi.

PRK DUN Pelangai di Pahang pada 7 Oktober 2023 menyaksikan BN mempertahankan kerusi itu tetapi dengan majorit berkurangan iaitu 2,949 berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Johari Harun.

Menerusi saingan tiga penjuru, Amizar Abu Adam (BN) memperolehi 7,324 undi, Kasim Samat (PN) mendapat 4,375 undi meningkat berbanding 3,260 pada PRU dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas) memperoleh 47 undi.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas Johari meninggal dunia kerana terlibat dalam nahas pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam di Selangor pada 17 Ogos.

PRK Parlimen Kemaman pula berlangsung pada 2 Disember 2023 selepas kemenangan Che Alias Hamid pada PRU15, terbatal.

Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September menerima petisyen difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil, bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15.

Bagaimanapun Pas mengekalkan kerusi itu melalui calonnya Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menang dengan majoriti lebih besar iaitu 37,220 undi berbanding sebelumnya 27,179 undi. Beliau memperoleh 64,998 undi manakala Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (BN) 27,778 undi.

Di Sarawak, PRK DUN Jepak diadakan pada 4 November 2023, susulan kematian penyandangnya untuk hampir enam penggal, Talib Zulpilip pada 15 September yang menang pada PRN 2021 dengan majoriti undi 4,243.

Dalam pertandingan tiga penjuru, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan kerusi itu apabila Iskandar Turkee memperoleh 9,638 undi mengalahkan Stevenson Joseph Sumbang (Parti Bumi Kenyalang) yang memperoleh 854 undi dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing yang memperoleh 431 undi.

PRK berikutnya di DUN Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 11 Mei 2024 selepas kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, (PH-DAP) pada 21 Mac.

PH mengekalkan kerusi itu dalam pertandingan empat penjuru melalui calonnya Pang Sock Tao yang menang majorit 3,869 undi selepas memperoleh 14,000 undi manakala Khairul Azhari Saut (PN-Bersatu) 10,131 undi, Nyau Ke Xin (Bebas) 188 undi dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin sekadar 152 undi.

PRK berikutnya di DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai 2024 selepas penyandangnya Nor Zamri Latiff (PN-Pas) meninggal dunia pada 24 Mei.

Pada PRK itu, calon PN, Abidin Ismail mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 4,267 undi berbanding PRN sebelumnya 1,563 undi. Abidin memperoleh 14,489 undi manakala pencabar tunggalnya Joohari Ariffin (PH-PKR) mendapat 10,222 undi.

Pada 17 Ogos 2024, BN berjaya merampas kerusi DUN Nenggiri di Kelantan apabila calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memperoleh 9,091 undi manakala pencabarnya, Mohd Rizwadi Ismail (PN-Bersatu) meraih 5,739 undi. Majoriti 3,352.

Pada 28 September 2024, dalam PRK di DUN Mahkota, BN mengekalkan kerusi itu melalui Syed Hussien Syed Abdullah yang memperoleh 27,995 undi, mengatasi Mohamad Haizan Jaafar (PN);yang hanya meraih 7,347 undi.

Dan PRK ke-11 selepas PRU15 dan PRN menguji sejauh mana sokongan khususnya kepada UMNO dan Pas.

Nnn

Related posts

Leave a Comment