KUALA LUMPUR 19 Nov.- Kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kembali menarik perhatian apabila UMNO membangkitkan soal usul undi percaya serta kejujuran dan keikhlasan dalam pemuafakatan politik.
Ahmad Zahid Hamidi (BN Bagan Datuk) berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu membawa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.
Katanya, Dewan Rakyat adalah pentas terbaik untuk menguji soal sokongan majoriti kepada pentadbiran Muhyiddin untuk menentukan kestabilan politik.
“Sama ada terdapat usul percaya atau sebaliknya ia hendak diuji di dewan yang mulia ini. Jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat sesuatu mesti dipersesuaikan dengan urusan kerajaan mesti diutamakan.
“Biarlah kerajaan yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan diutamakan menjadi usul undi percaya dibawa ke dewan yang mulia ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini.
“Jika ini tidak dapat dilakukan ia hendaklah dikembalikan kepada rakyat sesegera yang mungkin. Suara rakyat, suara keramat daripada rakyat kita diberi mandat kepada rakyat juga kita serahkan mandat.” katanya,
Beliau berkata proklamasi darurat bukan pilihan malah Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja telahpun menolak. Apatah lagi percubaan untuk mencadangkan proklamasi darurat dalam apa bentuk sekalipun.
Namun rakyat menerima proklamasi setempat seperti dilakukan di kawasan Parlimen Batu Sapi.
Ahmad Zahid turut membangkitkan soal kejujuran dan keikhlasan dalam pemuafakatan politik.
Katanya, dalam politik harus ada kejujuran, baik sebagai rakan kongsi atau atas nama dukungan sama ada secara piagam atau perjanjian persefahaman, bertulis atau konvensyen dan secara tersurat dan tersirat.
“Dalam politik perlu ada kejujuran. Terjemahan bukan hanya sekadar persetujuan lisan tapi juga dalam pelaksanaan. Tiada persoalan siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi.
“Soal tipu muslihat politik hendaklah diketepikan apabila kejujuran politik diberikan keutamaan jangan ada telunjuk lurus kelingking berkait. Jadikan seperti air dalam pembentung biarpun airnya berkocak namun airnya tidak tumpah keluar jika penutupnya adalah kejujuran.”
“Ikhlas dan jujurlah rakyat yang mengharap sesuatu yang terbaik untuk mereka mesti diberi keutamaan,” katanya.