BAITULMAQDIS – Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, digesa supaya menerima perjanjian yang akan membolehkan pembebasan tebusan sebagai pertukaran bagi kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Duta baharu Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee, berkata, jika perjanjian ditandatangani dan tebusan dibebaskan, bantuan kemanusiaan diharap mengalir tanpa sekatan.
“Kami berharap bantuan kemanusiaan dapat mengalir tanpa sekatan, dengan jaminan ia tidak akan dirampas dan disalah guna oleh Hamas terhadap rakyat mereka sendiri,” katanya menerusi kenyataan video di platform X.
Gesaan Huckabee itu dibuat susulan penolakan terbaharu Hamas terhadap cadangan gencatan senjata daripada Israel, yang menurut satu sumber Hamas, membabitkan pertukaran tebusan dengan tahanan serta kemasukan bantuan.
Ketua perunding Hamas menyatakan bahawa kumpulan itu menolak sebarang perjanjian ‘separuh jalan’ dan menuntut perjanjian menyeluruh yang merangkumi ‘penamatan perang’ dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Perang tercetus pada Oktober 2023 apabila Hamas melancarkan serangan ke atas Israel.
Qatar, bersama AS dan Mesir, menjadi perantara kepada gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang bermula pada 15 Januari lalu, membolehkan peningkatan bantuan serta pertukaran tebusan dan tahanan.
Fasa awal gencatan senjata itu tamat pada awal Mac apabila kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat mengenai langkah seterusnya.
Hamas menegaskan rundingan bagi fasa kedua gencatan senjata harus membawa kepada pengakhiran peperangan secara kekal seperti digariskan dalam kerangka Januari lalu manakala Israel pula mahu melanjutkan fasa pertama.
Israel menghentikan semua bantuan ke Gaza pada 2 Mac sebelum menyambung semula serangan udara dan darat terhadap Hamas pada 18 Mac, yang berterusan sehingga kini.
Israel menuduh Hamas menyalahgunakan bantuan, namun dakwaan itu dinafikan oleh kumpulan berkenaan.
Nnn