Industri penipuan siber berkembang

BANGKOK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sindiket jenayah Asia membabitkan industri penipuan siber bernilai berbilion dolar kini semakin berkembang ke peringkat global, termasuk ke Amerika Selatan dan Afrika.

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), rangkaian jenayah terbabit muncul dan semakin berkembang di Asia Tenggara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun kerajaan di negara Asia Tenggara meningkatkan tindakan penguatkuasaan, sindiket terbabit terus bergerak dengan pantas sama ada di dalam mahupun luar rantau ini.

Pemangku Wakil Wilayah UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Benedikt Hofmann, berkata jenayah itu merebak seperti barah di mana ketika pihak berkuasa menangani di satu kawasan, akarnya tidak hilang, ia hanya berpindah ke tempat lain.

UNODC menganggarkan terdapat ratusan pusat penipuan berskala besar di seluruh dunia yang menjana keuntungan tahunan berjumlah puluhan bilion dolar.

Justeru, agensi itu menyeru negara-negara untuk bekerjasama dan menggandakan usaha bagi membanteras sumber kewangan kumpulan penjenayah berkenaan.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pihak berkuasa China bersama Thailand dan Myanmar melancarkan operasi membanteras kegiatan penipuan di kawasan tanpa undang-undang di sempadan Thailand-Myanmar, termasuk dengan memotong bekalan elektrik, bahan api dan internet ke kawasan yang menempatkan pusat penipuan.

Bagaimanapun sindiket berkenaan menyesuaikan diri, dengan memindahkan operasi ke kawasan yang lebih terpencil dan lemah dari segi persiapan penguatkuasaan, terutamanya di Laos, Myanmar dan Kemboja, serta negara lain yang mempunyai tadbir urus lemah dan kadar rasuah yang tinggi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment