PUTRAJAYA 21 April – Tidak ada rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat cabang yang berakhir semalam, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan, soal itu tidak timbul kerana pemilihan terbabit hanya berkait pengundian dalaman parti PKR.
“Tiada (rombakan Kabinet). Ini soal parti, tidak timbul soal kerajaan negeri atau Persekutuan. Ia berjalan seperti biasa. Saya melihat dari segi prestasi masing-masing dan bukan percaturan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di pekarangan bangunan kementerian itu, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalannya, Mustapha Sakmud; dan Ketua Setiausaha KPT, Dr Anesee Ibrahim.
Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat cabang merangkumi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, mencatatkan kejutan apabila beberapa ‘nama besar’ serta berjawatan dalam kerajaan, disahkan tewas.
Antaranya ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; serta Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy.
Anwar yang juga Presiden PKR menekankan bahawa pada hematnya, Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat cabang berjalan lancar walaupun timbul isu berkaitan ketelusan keputusan serta proses pemilihan.
Malah, beliau berkata, pimpinan dan calon yang bertanding diberi peluang untuk mengemukakan sebarang pertikaian berhubung proses pemilihan itu.
“Pemilihan parti dijalankan dengan baik… ada beberapa masalah dan kemusykilan boleh dibangkitkan dalam mesyuarat khas pada Rabu,” katanya.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, semalam mengesahkan satu mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu akan diadakan, susulan bantahan dan dakwaan yang mempersoalkan ketelusan keputusan Pemilihan PKR 2025.
Mesyuarat itu diadakan berikutan permohonan sebilangan ahli MPP dengan bersandarkan peruntukan Perlembagaan parti.
Sebelum ini, beberapa calon dilapor mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) susulan terdapat pihak yang mempersoalkan ketelusan keputusan serta proses pemilihan terbabit.
NNN